Aku bertukar tempat kerja ke sebuah tempat yang tidak pernah terlintas langsung di alam hidupku iaitu pekan Seri Menanti. Sebuah pekan yang sederhana besarnya. Sebuah perkampungan nelayan. Pekan yang diwarnai dengan keindahan pantainya yang menawan hati kepada sesiapa yang ingin mencari ketenangan.
Bukan sahaja pantainya yang indah, malah mitos nama Seri Menanti juga amat menarik untuk direnung. Mitos mengenai cinta sejati sepasang kekasih yang tidak menperolehi restu keluarga masing-masing. Kisah seorang gadis bernama Seri yang mencintai kekasihnya tanpa ragu. Namun, setiap kisah cinta memerlukan pengorbanan yang amat tidak ternilai. Kekasihnya itu pergi buat selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi dalam pelayaran mencari kehidupan yang lebih sempurna. Seri yang tidak mempercayai pemergian kekasihnya itu masih setia menantikan kepulangan orang yang dicintainya tanpa menghiraukan masa yang berlalu. Setiap petang, Seri akan menantikan kepulangan kekasihnya di tepi pantai tersebut. Sehinggalah Seri sendiri akhirnya menurut jejak kekasihnya. Nama Seri Menanti disemadikan bersempena mitos tersebut. Sebuah mitos cinta yang agung.
Pantai Seri Menanti adalah persinggahan bagi perjalanan hidupku yang entah keberapa. Aku sendiri tidak pasti. Setiap persinggahan, pastinya aku mencari pantai. Pantai membawa seribu makna dalam hidupku. Selama ini aku mencari seseorang yang sering menjelma di dalam mimpi indahku. Dalam mimpi itu, pantai menjadi saksi pertemuan aku dengannya. Setiap pantai pada setiap persinggahanku, belum lagi aku menemuinya. Aku akan tetap meneruskan pencarianku walau apapun yang berlaku. Pencarian bagi sebuah mimpi indah.
Petang itu aku pergi ke pantai Seri Menanti. Di pantai itu, aku dapat lihat betapa indahnya lautan luas yang terbentang. Kelihatan tompok-tompok awan menambahkan lagi keindahannya. Suasana amat nyaman sekali. Tiupan bayu laut menyapa mesra sekujur tubuhku. Tampak jelas di ruang mataku, betapa agungnya ciptaan Allah s.w.t.
Secara tiba-tiba, hatiku rasa tersentuh. Perasaan sayu menyelimuti seluruh sudut hati ini. Aku tidak tahu apakah sebabnya. Pantai Seri Menanti seolah-olah menantikan kehadiranku. Seolah-olah mahu memberitahu kepadaku bahawa ada cinta sejati akan muncul di sini. Tiupan bayu serta deruan ombaknya mengalunkan lagu-lagu cinta yang indah.
Kali ini aku mahu berbicara dengan pantai. Aku mahu menyatakan kepada pantai bahawa aku amat merindui wajah laut yang tenang. Puas aku mencari, namun seringnya kehampaan yang mendakapku. Terkadang aku tertanya-tanya, apakah setiap pertemuan pasti ada perpisahan, apakah setiap persinggahan perlu ada nostalgia yang mampu membuatkan aku lesu tidak bermaya.
Kepada pantai Seri Menanti yang indah itu, aku berbicara dari hati ke hati. Aku mohon agar ada takdir indahku di pantai ini. Aku mahu ada pertemuan antara aku dengan wajah laut. Wajah laut aku panggil puteri. Wajah laut umpama puteri impian yang sering hadir dalam mimpi indahku.
Sebelum ini aku tidak mengenali wajah laut. Aku juga tidak pernah bersua dengannya. Malah yang pasti, wajah laut hanya hadir dalam lenaku dan membuatkan aku sentiasa tercari-cari. Pada setiap persinggahan, aku akan mencari pantai. Aku akan menantikan kehadiran wajah laut seperti yang terlukis dalam mimpiku itu.
Mungkin pantai cemburu pada wajah laut, lalu tidak merestui agar ada pertemuan antara aku dengan wajah laut. Mungkin juga pantai takut akan kehilangan aku kiranya wajah laut muncul lalu pantai akan aku lupakan. Segalanya mungkin. Tapi, andai ada takdir indahku, wajah laut pasti akan muncul. Aku mohon pantai redha atas ketetapan ilahi bahawa wajah laut akan muncul juga. Aku mahu pantai merestui kehadiran wajah laut.
Aku menyusuri persisiran pantai itu. Pantai tetap tenang, pantai tetap tidak berubah. Tiupan bayunya yang lembut masih menyapa mesra tubuhku. Namun wajah laut tidak aku temui.
Tiba-tiba aku terpandangkan seseorang yang sedang memerhatikan alunan ombak pantai. Aku terpegun seketika. Susuk tubuhnya seperti pernah aku temui tapi aku tidak pasti di mana. Gerak hatiku membawa hayunan langkah mendekatinya. Aku berdiri di sisinya. Lantas aku menyapa.
“Puteri”.
Betapa cabulnya mulutku ini, memanggil seseorang dengan nama ‘puteri’ sedangkan aku tidak pernah bersua muka dengannya. Tapi gerak hatiku ketika itu merestui panggilan tersebut.
Dengan pantas dia berpaling menghadap. Mata bertentang mata. Gementar seluruh tubuhku apabila terlihatkan sinar pada matanya. Aku pasti, seseorang yang aku gelar wajah laut menjelma bagai bidadari yang turun dari langit. Wajah laut yang sering hadir dalam mimpi indah waktu lenaku telah muncul. Tidak ada yang berbeza. Sempurna serta mewangi bak haruman kasturi. Wajah laut tampak jelas. Wajah laut itulah yang sering hadir dalam mimpi indahku. Wajah laut itulah yang sering aku rindui kehadirannya di alam nyata. Kini, wajah laut berada di hadapanku. Hanya senyuman manisnya yang menyapa aku tatkala itu.
“Puteri”.
Aku ulangi dengan suara yang jelas gementar. Sesungguhnya aku benar-benar menantikan kehadiran wajah laut ini sehinggakan rasa rindu terhadapnya memuncak. Sebuah rindu yang tidak terungkap dengan kata-kata. Seringnya dalam mimpi waktu lenaku, wajah laut berbicara manja. Tutur katanya tenang dan menyakinkan. Ungkapan kata-kata yang tidak pernah lekang muncul dalam mimpiku, kini sentiasa terapung dalam kolam hatiku.
‘Keagungan cinta daripada dua hati yang disatukan
tidak mungkin dapat dipisahkan.
Selagi ada hayat, cinta tetap utuh’.
Aku tidak percaya pada cinta. Aku juga tidak percaya dua hati dapat bersatu. Namun, aku percaya wajah laut akan muncul juga tapi bukan di alam lena. Aku sentiasa menantikan kehadirannya tanpa jemu pada setiap persinggahan.
“Puteri?”
Terpapar soalan yang pastinya memerlukan penjelasan lebih lanjut dariku.
“Apakah kiter mengenali saudara?”
Terbit kata-kata dari rekahan bibir wajah laut.
“Tidak.”
“Habis, kenapa saudara memanggil kiter puteri?”
Lidah aku kelu seketika. Pastinya kalau aku menyatakan bahawa wajah laut sering hadir dalam mimpi waktu lenaku, maka aku akan dianggap sebagai kurang siuman. Aku cuba untuk menyusun kata-kata agar tidak kedengaran sumbang pada penjelasanku itu.
“Maaf, nama itu enak untuk dipanggil kepada seorang gadis seperti puteri.”
Kelihatan senyuman terukir di bibir wajah laut. Ada bibit kepuasan mendengar penjelasan ringkas dariku. Mungkin ada benarnya pada penjelasan tadi.
“Apa saya menggganggu puteri?”
Aku masih cuba untuk menenangkan keadaan gementar yang masih menyelubungi.
“Tidak. Tapi panggilan puteri itu mengingatkan kiter kepada seseorang. Ah, lupakan aje…”
Wajah laut menambahkan lagi rasa gementar yang telah sedia ada.
“Perkenalkan, kiter Idayu, anak tempatan sini. Anak tempatan Kampung Seri Menanti”
Wajah laut kelihatan ceria sewaktu memperkenalkan dirinya.
“Saya Noridman, baru bertugas di tempat ini.”
“Selamat berkenalan. Apakah Noridman selalu ke pantai?”
Wajah laut berbicara dengan nada suara yang amat tenang. Suatu suara yang sering kedengaran di kelopak telingaku sewaktu di alam lena. Suara yang amat aku nantikan berkumandang di alam nyata.
“Ya, selalu! Pada setiap persinggahan saya, pastinya pantai adalah destinasi utama. Saya suka melihat pantai. Pantai banyak mengajar saya erti kehidupan. Lihat saja pantai yang indah tu. Cantik bukan. Sebentar lagi, pantai akan terhakis oleh ombak yang melanda. Ombak tidak mengenal apa itu keindahan. Yang jelas, ombak meragut keindahan pantai tanpa ada rasa belas. Betapa buasnya ombak yang melanda, langsung tidak menghayati erti ketenangan yang selama ini ada pada pantai.”
Suatu jawapan panjang bagi permulaan sebuah pertemuan. Aku menyusun kata-kata agar dapat membina kekuatan berbicara dengan wajah laut.
“ Begitu sekali Noridman menilai kejadian alam. Bukankah itu lumrah kejadian. Pasir akan tetap menanti kehadiran ombak. Pasir dan ombak redha atas ketetapan yang ada.”
Suasana hening sebentar. Wajah laut merenung nun di kejauhan. Renungan yang menggamit seribu persoalan.
“Puteri.”
Aku memecah keheningan yang melanda ketika itu.
“Izinkan perkataan puteri saya gunakan dalam perkenalan ini.”
Aku memerhatikan reaksi yang muncul pada wajah laut. Namun wajah laut tetap tenanag.
“Terpulang. Asalkan tidak mengganggu keselesaan Noridman. Lagipun, apa yang ada pada sebuah nama.”
Wajah laut menjawab sambil merenung di kejauhan kaki langit. Suasana kembali sunyi. Hanya kelihatan renungan sepasang mata yang menyimpan seribu persoalan ke arah kaki langit di kejauhan itu.
“Noridman, pastinya ada sebab kiter dipanggil puteri, bukan. Pastinya juga ada sebab Noridman mengunjungi pantai ini. Betulkan?”
Tiba-tiba wajah laut bersuara. Sebuah pertanyaan yang menuntut jawapan untuk kepastian. Apakah aku perlu jujur atau berselindung di sebalik kenyataan. Tapi, dari sinar mata wajah laut, aku tidak mampu untuk menipu. Sinar mata yang menuntut kejujuran.
“Maaf, andainya kata-kata saya nanti membuatkan puteri bingung. Atau mungkin puteri menganggap saya kurang siuman. Atau mungkin juga puteri membuat andaian saya tidak berpijak di alam nyata.”
Aku cuba untuk menyusun kata-kata.
“Kenapa harus mohon maaf, sedangkan Noridman belum lagi menceritakan yang sebenarnya.”
Wajah laut pantas membidas kata-kataku tadi. Terkedu aku sebentar. Benar juga kata-kata wajah laut.
“Janji dengan saya yang puteri tidak akan mentertawakan pada penjelasan saya nanti.”
Wajah laut hanya tersenyum. Senyuman yang amat menyakinkan aku bahawa wajah laut menantikan penjelasan aku dengan ikhlas.
“Puteri, apa puteri percaya pada mimpi?”
“Apa kaitan dengan mimpi. Bagi kiter, mimpi hanyalah mainan tidur. Mimpi hadir umpama deraian hujan di tanah nan gersang. Hanya diri kita sendiri yang akan memahaminya.”
“Tepat sekali. Saya menyokong sepenuhnya kata-kata puteri itu.”
Kekuatan aku mulai pulih. Aku yakin wajah laut sependapat. Ruang untuk aku berterus terang terbuka luas.
“Nama puteri hadir dalam mimpi saya. Hadir di alam lena yang sering membuatkan saya resah setiap kali saya terjaga. Saya tidak pasti pada mimpi itu, tapi saya sentiasa nantikan hadirnya waktu itu. Saya akan bertemu dengan puteri di tepi sebuah pantai yang indah. Sudah banyak perhentian saya lalui, puteri tidak pernah hadir.”
Aku berhenti sebentar untuk menarik nafas. Gementarku semakin luput. Aku mahu meneruskan kata-kata bagi memperjelaskan lagi maksud yang tersirat.
“Jadi Noridman nantikan puteri yang hadir dalam mimpi tu. Apa Noridman yakin puteri itu akan muncul. Apa Noridman tidak jemu menantikan hadirnya.”
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Teruskan. Kiter senang mendengarnya.”
Aku tidak dapat meneruskan lagi kata-kata. Aku jadi buntu. Mungkin wajah laut tidak mempercayai penjelasan yang aku berikan. Mungkin wajah laut menganggap aku sebagai seorang yang banyak bermain dengan ilusi. Semuanya mungkin. Aku jadi serba salah.
“Kenapa Noridman terdiam. Kiter tersalah bicara ke?”
“Tidak.”
“Noridman nantikan derai tawa kiter, bukan. Kemudian, kiter nyatakan yang Noridman banyak berkhayal. Begitu?”
Aku merenung sinar mata wajah laut. Wajah laut tersipu-sipu malu. Hairan. Bagaimana wajah laut mengetahui apa yang tersirat dalam kotak fikirku.
“Mungkin juga. Boleh saya teruskan.”
“Baik. Kiter mahu mendengar dengan lebih lanjut.”
“Pada perhentian kali ini, saya temui puteri yang hadir dalam mimpi saya. Betul-betul di hadapan saya. Mulanya saya rasakan seolah-olah saya bermimpi, tapi…”
Aku tidak dapat meneruskan lagi kata-kata. Aku menuju ke arah sepohon pokok yang berhampiran. Kelihatan durinya yang tajam menunjang ke langit. Aku letakkan lenganku pada ketajaman duri itu lalu aku tusuk sehingga terguris luka. Darah menitik ke pergelangan tangan. Rasa sakit menyedarkan bahawa aku tidak bermimpi.
Wajah laut terkejut memerhatikan tindakan yang aku lakukan. Pantas wajah laut bangkit lalu menekap tapak tangannya pada luka yang berdarah itu. Di ambil selindang yang tersangkut di bahunya. Luka itu dibalut rapi. Darah yang mengalir di sapu sehingga kering. Selindang itu diikat sepaya dapat menghentikan pengaliran darah yang berterusan.
“Kenapa mesti melakukan sesuatu dengan terburu-buru. Apa Noridman anggap pertemuan ini sebagai mimpi. Noridman masih tidak percaya yang Noridman berada di alam nyata. Aneh. Kiter merasakan sesuatu yang amat aneh berlaku di depan mata kini.”
Pada kali ini, aku pula yang terkejut. Hairan atas kata-kata wajah laut. Kenapa ada keanehan pada perlakuan aku tadi. Aku tidak memahami apa yang dibicarakan oleh wajah laut tadi.
“Apa yang anehnya?”
“ Yalah, mimpi Noridman tu! Kiter juga alami mimpi sebegitu. Setiap kali kiter mimpikan pantai ini, pastinya terdengar nama puteri diseru beberapa kali. Telah lama kiter nantikan saat ini. Sebentar tadi, kiter terkejut yang amat sangat bila nama puteri berkumandang di telinga,”
Aku jadi keliru dengan keadaan yang ada. Aku merenung sinar mata wajah laut sedalam-dalamnya. Aku mengharapkan, dengan renungan itu akan dapat memberikan aku jawapan yang pasti. Bagaimana sebuah mimpi dapat dikongsi bersama. Sinar mata wajah laut tetap tenang. Namun, dari sinar mata wajah laut, aku dapat rasakan persoalan demi persoalan akan terungkap. Ada jalinan indah di situ. Aku mahukan kepastian.
“Puteri, apa maksud kata-kata puteri tu. Saya keliru sangat.”
“Sesungguhnya, kiter hadir di pantai ini pun sebab mimpi tu. Kiter pasti, suatu waktu nanti suara itu akan kedengaran. Syukur. Allah s.w.t makbulkan doa kiter. Kiter rindukan suara itu yang memanggil nama puteri pada ketenangan pantai ini.”
Tiada kata-kata yang dapat aku luahkan pada ketika itu. Kini aku pula yang merenung kaki langit nun di kejauhan itu.
“Puteri…”
Aku cuba untuk mencelah. Tapi tiada kata-kata yang dapat aku ungkapkan. Aku kembali melihat alam mimpiku. Dalam mimpi itu, aku temui wajah laut. Aku terpaut pada sinar matanya. Tampak jelas melalui sinar matanya kekuatan serta keyakinan membina impian yang aku atur selama ini. Sinar mata itulah yang membuatkan aku sentiasa rindu. Sentiasa menantikan kehadirannya.
“Kiter tidak percaya pada mimpi. Tapi pada mimpi ini kiter dapat rasakan dua hati yang disatu dan tidak akan dipisahkan. Pertemuan akan hadir. Dan dalam pertemuan itu, akan terbuktinya keagungan sebuah cinta. Telah kiter serahkan segala rindu yang ada dalam diri buatnya. Telah kiter titipkan rindu itu pada setiap mimpi yang muncul. Apa yang pasti, rindu itu telah kiter tempatkan di istana hati ini seindah-indahnya.”
Wajah laut menyambung lagi kata-katanya. Aku menjadi semakin keliru. Aku tekan lukaku tadi dengan jari. Terasa sakit yang amat sangat. Namun wajah laut tetap hadir di hadapanku.
“Noridman terkejut? Masih tidak mahu mempercayainya?”
“Bukan saya tidak mahu mempercayainya, tapi…”
Aku benar-benar buntu. Maha suci Allah s.w.t. Adakah wajah laut ini bidadari yang diturunkan untuk menduga kekuatan iman atau sekujur makhluk yang mahu mempermainkan perasaanku. Adakah wajah laut hadir hanya sebagai tempat aku menagih kasih yang tidak pasti. Segala-galanya membuatkan aku buntu.
Pada persinggahan kali, aku mengharapkan agar ada takdir indahku. Selama aku melalui setiap persinggahan, tidak ada takdir indah yang mengiringiku.
Mitos Seri Menanti tiba-tiba menghantuiku. Aku tertanya-tanya sendirian. Aku seringnya menanti dan menanti kehadiran wajah laut. Pada setiap persinggahan, kehampaan menjadi teman setia. Tapi di sini, aku telah temui wajah laut. Apakah akan muncul satu lagi mitos yang bakal menggantikan mitos Seri Menanti. Selama ini aku asyik menanti, mungkinkah aku ditakdirkan untuk menanti sehingga kemunculan wajah laut di sini. Gerak hatiku menyatakan bahawa ada roh cinta yang wujud di sini. Andai ada takdir indahku di sini, akan aku cipta satu mitos baru. Akan aku buktikan kepada cinta yang muncul sebelum ini di pantai ini bahawa aku juga memiliki cinta yang agung.
Aku mengelamun lagi mengingat mimpiku. Dalam mimpi itu, aku temui wajah laut yang hadir umpama bidadari. Tenang dalam setiap perlakuan. Andaikata bidadari sebagai galang gantinya, wajah laut tetap jadi pilihan.Apa yang pasti, dalam mimpi itu, wajah laut miliki kasih, sayang, rindu dan cinta yang tidak pernah pudar walau ditelan masa berlalu.
“Puteri, dalam diri ini ada kasih, sayang, rindu dan cinta sepanjang hayat sepanjang zaman. Sudilah kiranya puteri menjadi bidadari saya selama-lamanya,”
Aku meluahkan apa yang tersirat di dalam hatiku selama ini. Aku menantikan jawapan yang pasti dari wajah laut.
“Itulah impian saya. Telah saya letakkan seluruh kasih, sayang, rindu dan cinta yang ada pada tempat yang indah di dalam istana hati saya.”
Aku menggenggam erat jari jemari wajah laut. Lantas aku kucup dahinya. Apa yang pasti ketika itu aku dapat rasakan hatiku dan hati wajah laut telah bersatu dalam ikatan cinta yang paling agung.
“Noridman…”
Tersentak aku dibuatnya. Aku mengelamun mengingat mimpiku rupanya.
“Noridman, rasanya Noridman menjadi keliru dengan penjelasan kiter ni. Izinkan kiter meneruskan apa yang selama ini terbuku di hati saya. Izinkan kiter paparkan apa yang muncul dalam mimpi tu”
Wajah laut bangkit lalu melangkahkan kakinya menuju ke gigi air. Dibiarkan ombak menghempas pergelangan kakinya. Kemudian wajah laut berpaling.
“Dalam mimpi itu juga, kiter dengan penuh ikhlas hati mahu menjadi bidadari kepadanya. Kiter redha dan terima kehadirannya sebagai kekasih kiter yang paling agung.”
“Puteri…”
Lidahku masih kelu untuk meneruskan kata-kata. Dari kata-kata wajah laut, jelas terbukti bahawa kuasa Allah s.w.t mengatasi segala-galanya. Pertemuan dan ajal adalah ketentuanNya. Tidak ada suatu pun yang dapat menghalang. Aku mahu mengatakan kepada wajah laut yang aku juga menantikan kehadirannya sampai masa kini.
“Noridman, mimpi indah itu sentiasa hadir dalam setiap lena kiter. Kiter menantikan kehadirannya. Kiter yakin dia pasti hadir. Pasti sangat.”
Terasa sebak di dadaku ketika itu. Mahu sekali aku menjerit pada pantai, pada wajah laut bahawa aku juga merindukan kehadiran wajah laut yang sering hadir dalam mimpiku.
“Demi Allah, andai ada esok yang indah, akan kiter dakap impiannya. Akan kiter dakap cintanya. Hati kiter dan dia telah disatukan melalui mimpi.”
Wajah laut menyambung lagi kata-katanya.
Lantas aku menghampiri wajah laut. Aku renung sinar matanya. Tetap tenang dan yakin. Persoalan demi persoalan semakin terungkap kini.
“Keagungan sebuah cinta adalah dua hati yang disatukan dan tidak mungkin dapat dipisahkan. Selagi ada hayat, selagi itulah kalimat ini tetap agung.”
Aku membisikkan kata-kata tersebut di kelopak telinga wajah laut. Hanya kata-kata itu yang dapat aku lafazkan. Aku dan wajah laut sama-sama melihat ketenangan pantai. Suatu keindahan yang hanya aku dan wajah laut sahaja yang mengerti.
Setiap hari selepas itu, aku mengunjungi pantai. Dan yang pastinya, wajah laut juga akan hadir sama. Pantai Seri Menanti adalah titik noktah sebuah pencarian yang aku tempuhi selama ini.
Sehinggalah suatu petang, aku terasa seolah-olah kehilangan sesuatu. Wajah laut tidak menampakkan kelibatnya. Aku jadi tertanya-tanya. Mungkinkah wajah laut sibuk dengan urusannya sehingga melupakan aku di pantai ini. Namun aku tetap menantikan kehadirannya.
Tiba-tiba aku teringatkan mitos Seri Menanti. Apakah mitos Seri Menanti akan menghantui ikatan aku dengan wajah laut. Aku menghitung semula kisah pertemuan aku dengan wajah laut. Aku mengenang semula mimpi-mimpi yang sering hadir dalam lenaku. Satu persatu tergambar di ruang pandangan mata. Semenjak pertemuan dengan wajah laut, mimpi-mimpi itu sudah tidak muncul lagi. Aku menjadi hairan. Apakah dengan kehadiran wajah laut di alam nyata, maka mimpi indahku dengannya tidak akan muncul lagi.
Sedang aku memerhatikan ketenangan pantai, datang seorang budak berlari-lari ke arahku lalu menyapa.
“Abang, abang ni Noridman ye?”
“Saya, kenapa”
Hatiku berdetik ketika itu. Macam ada berita yang tidak baik akan aku dengar. Berdebar-debar rasanya.
“Saya adik kakak Idayu. Kakak sampaikan salamnya. Dia suruh saya sampaikan nota ni pada abang.”
Belum sempat aku bertanyakan sesuatu, budak itu telah berlalu pergi dengan meninggalkan seribu persoalan. Aku buka nota yang ada dengan tangan yang terketar-ketar.
‘Noridman !
Maaf, kiter tidak dapat hadir menikmati keindahan
pantai buat kesekian kalinya. Apa yang berlaku adalah
takdir Allah s.w.t. semata-mata. Kiter harap Noridman
terima kenyataan kiter dengan tenang. Kiter mohon izin
mengundurkan diri dari alam nyata Noridman. Izinkan
kiter muncul hanya dalam mimpi sahaja, kerana mimpi
membina pertemuan kiter. Dalam mimpi kiter bertemu
maka biarlah mimpi itu terus hidup. Namun begitu, andai
ada ikhsan Noridman, simpanlah kasih sayang rindu dan
cinta kiter di dalam hati seindah-indahnya. Terima kasih
kerana hadir dalam saat kiter memerlukan. Apa yang pasti,
kiter tidak mahu Noridman berkongsi derita bersama.
Sekian, salam kasih penuh rindu buat Noridman yang bertakhta
di istana hati ini.
Debaran di hati ini semakin memuncak. Apakah maksud kata-kata wajah laut. Aku menjadi semakin keliru dengan situasi sebegini. Apakah wajah laut dalam kesusahan? Aku nekad. Aku akan mencari jawapannya sendiri.
Tanpa berlengah aku mencari rumah wajah laut seperti yang pernah digambarkan. Aku menurut sahaja gerak langkah kakiku. Jauh di sudut hatiku, aku menjadi semakin buntu. Nun di sana aku terpandangkan budak yang memberikan nota dari wajah laut. Aku panggil budak itu.
“Adik, boleh abang tanya, kat mana rumah kakak Idayu?”
Aku bertanya dengan nada yang jelas terketar-ketar. Kebimbanganku semakin menebal. Aku takut wujud situasi yang tidak aku ingini. Sebagai manusia, aku sering bermain dengan persoalan. Seringnya persoalan itu akan menyebabkan berlakunya salah faham.
“Tu, tapi kak Idayu tak ada. Dia kat hospital besar.”
Hatiku menjadi tidak keruan. Apakah yang berlaku sebenarnya. Apa kaitannya hospital dengan wajah laut. Lidahku menjadi kelu untuk bertanya dengan lebih lanjut. Aku bergegas ke hospital untuk mencari wajah laut. Sepanjang perjalanan aku memanjatkan doa agar tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku kepada wajah laut.
Sesampainya di hospital, aku dapati wajah laut berada di wad kecemasan. Hancur luluh hatiku apabila mengetahuinya. Kenapa selama ini wajah laut merahsiakan derita penyakit yang ditanggungnya.
Aku bertanyakan doktor yang ada mengenai masalah kesihatan wajah laut. Amat kritikal masalah yang dihadapinya. Masa semakin suntuk. Wajah laut memerlukan hati yang baru bagi menggantikan sebahagian dari hatinyanya yang sudah tidak berfungsi lagi. Tidak akan ada hari esok yang bersinar buat wajah laut andai penyumbang hati yang baru tidak tampil ke hadapan.
Memang benar cinta memerlukan pengorbanan. Cinta juga memerlukan keyakinan atas apa yang bakal ditempuhi. Aku perlu melakukan sesuatu demi wajah laut yang aku cintai.
Aku melangkahkan kakiku keluar dari kawasan hospital. Tidak aku sedari, aku tiba di perkarangan sebuah masjid berhampiran hospital. Terdengar suara azan yang menambahkan lagi rasa sayu dihatiku. Aku sujud ditikar sembahyang memohon petunjuk. Andai andai ada kesilapan pada pilihanku, aku mohon ampun dan aku redha atas ketetapan yang ada. Dari Allah s.w.t. aku datang, kepada Nya juga aku akan kembali. Demi Allah, pilihan yang akan aku buat bukan paksaan. Ini ketentuan yang maha esa.
Hatiku terasa amat tenang sekali. Apa yang penting aku mahukan wajah laut bebas dari penderitaannya selama ini. Aku yakin, Allah s.w.t. tidak kejam pada makhluknya.
…………………..
Suasana pantai Seri Menanti tenang sekali. Tiupan bayunya benar-benar mengasyikkan. Seolah-olah terdengar terdengar alunan lagu-lagu cinta yang memberikan aku kekuatan untuk tabah meneruskan hidup ini.
Pantai masih tidak berubah. Kata orang, ‘sekali air bah, maka sekali pantai berubah’. Namun, pantai Seri Menanti tetap seperti mula-mula aku hadir dulu. Sentiasa tenang. Keindahannya masih terpelihara walau datang badai yang ganas sekalipun.
Aku berbicara lagi dengan pantai. Aku mahu menyatakan kepada pantai bahawa di dalam hati ini ada cinta yang tidak akan berubah walau dilanda dugaan yang sehebat mana sekalipun.
Mitos sedih Seri Menanti seolah-olah terpadam. Nun di sana, aku dapat lihat seorang gadis yang menantikan kepulangan kekasihnya tersenyum puas. Tergambar kepuasan pada raut wajahnya. Mungkin gadis itu pasrah melihat hadirku. Mungkin gadis itu dapat menerima kenyataan bahawa kekasihnya itu tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Mungkin juga gadis itu gembira kerana kisah cinta agungnya ada kesinambungan, malah lebih hebat lagi. Segalanya mungkin. Di pantai ini, telah aku ciptakan satu mitos baru bagi hidupku sendiri. Nama Seri Menanti terpahat indah bersama-sama dengan kisah cintanya yang tersendiri.
Melalui mimpi, hatiku dan hati wajah laut bersatu. Di alam nyata, hatiku dan hati wajah laut juga disatukan dalam ikatan yang tidak mungkin akan terpisah. Aku kagum dengan ketetapan yang ada. Semestinya setiap makhluk telah tertulis kisahnya. Hanya masa sahaja yang menentukan perjalanannya.
“Noridman…”
Tiba-tiba namaku dipanggil. Terkejut aku dibuatnya.Suara yang amat aku nantikan berkumandang di kelopak telingaku. Rasas rindu padanya teramat sangat. Aku berpaling menghadapnya. Berderai air mataku tatkala terpandangkan sinar matanya. Masih tidak berubah. Tenang dan menyakinkan. Aku dapat lihat kekuatan serta keyakinan pada impian yang aku atur selama ini.
“Puteri…”
Aku tidak dapat meneruskan lagi kata-kata. Aku terpandangkan nun di kejauhan, seorang gadis melambai-lambaikan tangannya memohon restu untuk pergi meninggalkan pantai Seri Menanti. Meninggalkan mitos yang tercipta sebelum ini untuk aku dan wajah laut.
No comments:
Post a Comment