Izinkan aku menarikan lenggok irama dengan iringan nada yang tampak meriah setiap jurus langkah tari itu aku bentuk seninya agar lagunya setanding agar tidak nampak sumbang agar sentiasa segar dipupuk arus melodinya namun pastinya aku akur bila lenggok tari itu pincang bila nada alunannya sumbang pentas yang ada jelas tidak pernah tetap duduknya izinkan aku dan lenggok tari itu berada pada sudut yang mampu ditatap bila ada rindu yang tidak pernah sesat

Wednesday, July 18, 2012


IMPIAN SEMALAM
Cuma yang dapat kuberikan : selembar langit kenyataan tanpa bulan atau bintang, lipat dan simpanlahdalam almari kenangan agar tidak kotor dek awan yang sentiasa membuat nasib kita menjadi kelam

Sudah lama dia berdiri di situ. Dah naik kematu tumit kakinya, namun apa yang dinanti-nantikan masih belum kelihatan lagi. Tidak lama lagi, seluruh dewan ini akan dibanjiri oleh kalangan mahsiswa yang sudah resah menunggu tibanya saat mereka akan dianugerahkan segulung ijazah. Dewan SITC merupakan lambang kemegahan kepada pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka. Suasana kegembiraan jelas terbayang di wajah mereka serta kaum keluarga yang begitu sibuk mengambil gambar kenang-kenangan. Bukan senang hendak merasai suasana yang sedemikian. Kesempatan tersebut diambil dengan sepenuh-penuhnya. Hingar-bingar jadinya sekitar kawasan tersebut.
Dalam suasana yang riuh itu, dia masih lagi tercari-cari seseorang yang selama ini dinantikannya. Kelibat  abang  Rosman pun tidak terlihat. Puas dia mencari di segenap pelusuk dewan bersejarah yang akan menyaksikannya menggenggam segulung ijazah sebagai tanda usahanya selama ini mendatangkan hasil yang tidak ternilai.
“Mustahil kau boleh melupakan janjimu yang kau sendiri katakan sebagai impian  yang kau cari selama ini,” bisik hati kecilnya.
“Nani,”
Terdengar seruan keras dari belakangnya. Dia menoleh. Kelihatan teman sekuliahnya melambaikan tangan memanggil-manggil. Masing-masing dalam kegembiraan. Namun, dia masih lagi tercari-cari. Bukan teman-teman sekuliahnya yang dinantikan kehadiran. Dia menantikan kemunculan seseorang yang telah banyak berkorban berjuang bersamanya untuk meraih kejayaan.
Dia terkenangkan seraut wajah yang banyak memberikan bantuan tanpa rasa jemu. Kepadanya disandarkan harapan agar sama-sama menempuh setiap rintangan yang mendatang dengan tabah dan penuh kesabaran. Seorang yang selama ini menjadi tulang belakang kehidupannya yang terduga oleh kerakusan teman-teman seusianya melalui alam remaja. Suatu alam yang terbentang luas laluan hidup yang bakal menentukan masa depannya.
Dia hanyut dalam dunianya sehinggakan terlupa bahawa dia mempunyai misi yang amat besar untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang. Dia terlupa wajah-wajah harapan ayah dan ibu. Dia juga terlupa tugas seorang kakak yang akan menjadi contoh kepada adik-adiknya.
Sehinggalah dia terperangkap dalam kisah percintaan yang kepura-puraan. Nyaris-nyaris lagi masa depannya menjadi gelap. Dia terpedaya dengan pujuk rayu serta janji manis seorang yang telah bergelar pendidik. Seorang yang selama ini amat dihormati, apatah lagi dengan profesion perguruan yang disanjung. Dia jadi benci pada insan bergelar pendidik. Seorang pendidik yang tidak memikirkan tanggungjawab sebagai pendidik tetapi mengambil peluang atas kelemahan dirinya seorang gadis remaja ketika itu.
Dia hampir-hampir tewas dalam perjuangannya hanya kerana dia tidak dapat membezakan antara tanggungjawab dengan alam remajanya. Alam remajanya penuh dengan kehidupan teman-teman yang kepura-puraan. Tidak ada seorangpun yang  mampu memberikan kepastian bahawa hidup ini mempunyai penghujung yang ditentukan oleh diri sendiri. Masing-masing hanyut dalam ego yang diciptakan demi meraih kejayaan. Ianya bukanlah suatu kepastian tapi hanyalah suatu harapan yang tidak pasti kunjungan kejayaan.
Hidupnya menjadi tidak keruan. Dia sudah tidak pasti hala tujunya semasa awal pengajiannya. Apabila keputusan peperiksaan semester pertama diumumkan, keputusannya berada di paras cukup makan sahaja. Dia sekadar mampu meneruskan pengajian dengan hanya mengharapkan agar tiga tahun berlalu dengan cepat. Apa yang penting, dia perlu menamatkan pengajian dan kemudian dapat bertugas. Ketika itu nanti, dia akan menerima gaji dan dapat berbelanja mengikut kehendak serta seleranya. Tidak terfikir langsung hendak memartabatkan profesion perguruan.
Namun begitu, abang Rosman muncul dalam keadaan yang berbeza. Pandangan buruknya terhadap seorang yang bergelar pendidik semakin terhakis. Abang Rosman telah membuka laluan yang sebenar bagi seorang pendidik. Malah, dia seolah-olah tersedar dari lena oleh khayalan-khayalan yang dibinanya. Selama ini dia menganggap segala-gala yang berlaku adalah takdir yang telah ditetapkan dan takdir tersebut wajar diterima dengan kerelaan. Takdir itulah yang menyebabkan hidupnya hilang punca. Sedikit demi sedikit, abang Rosman memperbetulkan keadaan. Keyakinan mula menapak satu persatu.
“Kita yang menentukan takdir hidup ini. Bukan hanya berserah sahaja. Andai kita berserah maka kita akan melalui kehidupan ini dengan rentak yang telah ditetapkan. Kita perlu mencorakkan takdir kita dengan keyakinan bahawa kita adalah makhluk tuhan yang perlu berusaha bukan dengan hanya berharap”, bicara abang  Rosman suatu hari.
“Apa yang penting adalah kita perlu yakin terhadap kemampuan yang dimiliki. Jangan sekali-kali dipersiakan keistimewaan yang dikurniakan. Gunakan dengan sebaik mungkin. Ingat, kita akan menjadi seorang pendidik. Tanggungjawabnya amat berat. Kadang-kadang kita keliru antara tugas dan tanggungjawab tapi yang penting sekali kita tanya diri kita apa kehendak serta matlamat yang sebenarnya. Maaf, kiranya apa yang abang perkatakan ni membuatkan Nani meragui profesion yang Nani ceburi nanti. Abang cuma mahu Nani tetap pendirian.”
Masih terngiang-ngiang kata-kata tersebut yang banyak menyedarkan dirinya supaya lebih tabah dan mempuanyai kekuatan semangat menempuh gelora sebagai seorang mahasiswa di pusat pengajian tinggi.
“Nani, suatu masa nanti, abang nak lihat di dalam dada akhbar namamu tercatat sebagai seorang ahli akademik yang sentiasa memberikan pandangan yang bernas mengenai isu-isu melibatkan kepincangan masyarakat,” abang  Rosman menyatakan harapan terhadapnya.
“Abang nak tengok Nani memperjuangkan nasib anak bangsa tanpa ada sebarang niat yang tersembunyi. Biar masyarakat tahu, kita warga pendidik tidak pernah jemu memastikan anak didik kita menuju arah kesempurnaan.”
“Terlalu tinggi harapan yang abang letak terhadap Nani. Tak mampu rasanya,” dia menyanggah.
“Bukan Nani tak mampu. Tapi Nani takut menghadapi kenyataan yang sebenarnya. Cukupkah sekadar Nani menamatkan pengajian hanya dengan memperolehi ijazah dan kemudian menempuh alam pekerjaan sebagai pendidik yang pastinya mewarnai hidup Nani selama-lamanya demi kepentingan diri sendiri. Apa akan jadi dengan kehendak masyarakat yang mahukan kita sebagai wakil mereka memperkembangkan lagi pengetahuan serta keilmuan agar anak bangsa lebih mantap penerimaan ilmu mereka.”
“Pentingkah semua itu? Apa, tak cukupkah pengorbanan yang kita tempuhi demi mengejar ijazah yang akan kita terima nanti?” dia masih lagi mempertahankan sanggahannya.
“Apa yang kita lalui bukanlah pengorbanan. Kita lebih mementingkan diri kita sendiri. Pengorbanan yang sebenarnya adalah sebagai peringatan bahawa hidup kita ini adalah merupakan pentas kehidupan kepada masyarakat memperolehi hasil dari kejayaan kita selama ini.”
Bicaranya amat pantas dalam menentang kecelaruan yang selama ini dia hadapi. Apa yang pasti, kata-kata tersebut menaikkan semangatnya agar lebih yakin terhadap kemampuan dirinya.
Suasana kuliah sering terganggu oleh ketegasan bicara abang  Rosman yang mahukan agar setiap ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh pensyarah dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya. Abang  Rosman amat bencikan karenah bakal-bakal pendidik masa kini yang melupakan hasrat sebenar perjuangan seorang pendidik. Ketegasannya acapkali menimbulkan rasa tidak senang di kalangan teman-teman seperjuangan. Apa tidaknya, bukan ilmu pengetahuan yang dikejar, sebaliknya pekerjaan yang bakal diperoleh dijadikan sebagai kiblat. Sepatutnya, bakal seorang pendidik sewajarnya mengejar ilmu pengetahuan. Yang dikejar hanyalah pekerjaan yang bakal memberikan pendapatan yang cukup untuk memenuhkan poket pada setiap awal bulan.
Dia sendiri pada awalnya tidak pasti apa sebenarnya yang dicari. Sehinggalah  abang  Rosman banyak memberikan kesedaran mengenai tanggungjawab yang harus dipikul olehnya sebagai seorang pendidik suatu masa nanti. Abang  Rosman sering memperjuangkan pengorbanan seorang pendidik bukan setakat mendidik anak didik sahaja namun ada tugas yang lebih berat iaitu memastikan ilmu pengetahuan dijadikan sebagai tunjang hala tuju. Ilmu pengetahuan adalah segala-galanya bagi seorang pendidik. Dengan ilmu pengetahuan, seorang pendidik mampu memastikan kehendak wawasan negara tercapai dengan jayanya.
“Suatu masa nanti, Nani perlu mencapai impian abang yang mahu mengejar ilmu pengetahuan tanpa jemu. Nani kena teruskan usaha abang andainya abang tidak mampu melakukannya,” kata abang  Rosman kepadanya di tepi  kelas semasa menantikan pensyarah tampil memberikan kuliahnya.
“Kenapa abang cakap macamtu? Kan tu impian kita bersama. Nani tak mampu menghadapinya keseorangan,” pantas dia membalas. Direnungnya seraut wajah gigih bakal seorang pendidik tersebut.
“Entahlah. Abang terasa seolah-olah perjalanan abang tiada penghujungnya,”kata  abang  Rosman.
“Nani tak suka abang cakap macamtu lagi,” pantas dia memintas kata-kata abang  Rosman.
Sememangnya benar kata-kata abang  Rosman. Ilmu pengetahuan menjadi kayu pengukur seorang pendidik. Bukanlah pangkat atau jawatan. Juga bukan gelaran yang perlu diraih. Apa gunanya pangkat serta gelaran kalau anak didik yang kita hasilkan hanyalah sebagai memenuhkan kekosongan kelompok masyarakat yang tidak ada ketamadunan. Di mana janji setia sebagai seorang guru yang hanya mampu mengajar bukan mendidik. Selama ini, kalau disebut guru, apa yang tergambar dalam pemikiran masyarakat adalah golongan yang memberikan pengetahuan kepada anak-anak mereka. Penuh dengan harapan agar anak-anak mereka dapat diberikan sepenuhnya ilmu pengetahuan yang memungkinkan mereka dapat hidup senang dikemudian hari.
Tidak kira dalam apa juga tindakan yang dilakukan. Seorang guru sewajarnya memegang tanggungjawab yang teramat berat. Perkerjaan guru bukan dijadikan sebagai suatu tiket untuk meraih pekerjaan dalam situasi masa kini. Tugas seorang guru semakin lama semakin mencabar.
Tiba-tiba lamunannya terganggu dengan kehadiran beberapa orang teman seperjuangannya.
“Nani, kau belum lagi mendaftar sebagai penerima ijazah kat dewan sana”, kata Sazu temannya yang banyak mendatangkan masalah sepanjang masa pengajiannya.
“Nanti. Kejap lagi aku pergilah”. dia memberitahu.
“Kau tunggu abang  Rosman ke?” Soal Sazu.
“Kenapa, kau ada nampak dia?”
“Tak. Dia sorang saja yang aku belum nampak. Semua teman kita dah ada. Kau tak nak jumpa kawan-kawan?” Sazu masih lagi menyoal.
“Alah, kalau jumpa pun nak buat apa.Aku tengah tunggu abang Rosman ni. Kau pergilah dulu.”
Bagi dia, teman-temannya tidak penting. Yang penting, dia menantikan kehadiran seorang yang telah berjanji dengannya. Tanpa kehadirannya, terasa sia-sia perjuangannya selama ini. Apa yang diharapkan selama ini hanyalah menggenggam segulung ijazah bersama orang yang selama ini disayangi tanpa rasa ragu. Ini suatu kepastian yang tidak dapat diubah.
Pernah dia menyuarakan persoalan kepada abang Rosman mengenai ikatan perkenalan antara dia dengan abang Rosman. Namun jawapan yang diterima amat menusuk hati dan perasaannya.
“Suatu masa dulu, abang telah menamatkan pengajian abang di maktab perguruan. Tapi masa tu, abang tak punya matlamat hidup. Abang tak tahu apa yang abang cari selama ini. Abang tak naik atas pentas pun untuk terima sijil perguruan semasa majlis anugerah sijil maktab. Kemudian, abang sambung pengajian abang kat Universiti Malaya dan dah tamat pun. Juga abang tak naik pun atas pentas untuk terima diploma abang. Abang tak tak tahu apa sebenarnya kehendak hidup abang. Terlalu kosong rasanya.”
Abang Rosman terdiam sebentar. Dia merenung tepat ke arah raut wajah abang Rosman. Tergambar segunung harapan yang tidak pernah terfikir oleh dia untuk menyelami sedalam-dalamnya.
“Tapi kat UPSI ni, abang temui sesuatu yang tidak ternilai untuk abang tukar ganti dengan nyawa abang. Yang pertama ilmu dan yang kedua Nani.”
Abang Rosman memandang ke arah bangunan Suluh Budiman yang menjadi lambang kepada warga UPSI meneruskan wadah perjuangan pendidik masa lalu.
“Abang simpan impian abang untuk hidup dengan ilmu, untuk hidup dengan Nani sepanjang hayat sepanjang zaman. Abang teringin sangat nak naik atas pentas masa konvokesyen, nak genggam skrol ijazah abang. Abang dah jumpa matlamat hidup abang.”
Dalam kesibukkan itu, dia terlihatkan kelibat seorang lelaki yang dinantikan selama ini. Terus dia berlari ke arah lelaki tersebut.
“Abang, kenapa lambat?”
Terkejut yang amat sangat dia kerana lelaki tersebut bukannya orang yang dicari.
“Maaf. Saya tersalah orang,” tersipu-sipu malu dia menyatakan kesilapannya.
“Mana ni. Leceh betullah. Nanti bila dah masuk kat dalam dewan, tak dapat aku nak bergambar. Orang dah tunggu dari tadi lagi. Jangan-jangan dia dah lupa kot. Eh, mana boleh. Dia yang sentiasa ingatkan kita. Takkan dia lupa,” dia berbisik di dalam hati.
“Nanti masa kita terima skroll ijazah, abang nak genggam tangan Nani kuat-kuat. Nani jangan pergi jauh-jauh tau. Tak sabar rasanya nak tengok Nani pakai jubah konvokesyen.”
“Nani pun tak sabar, abang. Nani nak ambil gambar kita berdua dan lepas tu, Nani nak gantung gambar tu kat dinding rumah. Kat gambar tu ada nostalgia yang tak dapat Nani beli dengan wang ringgit. Boleh tak , abang?”
Abang Rosman hanya tersenyum riang. Dia pasti ketika itu impiannya hanyalah untuk hidup bersama abang Rosman buat selama-lamanya. Tidak mungkin ada sesiapa pun yang mampu mencurahkan seluruh kehidupannya demi dia sebagaimana yang dilakukan oleh abang Rosman. Terlalu unggul pengorbanan yang diberikan olehnya. Malah nama tersebut telah bertakhta dihati dengan begitu indahnya.
“Abang akan datang. Abang akan datang cari Nani. Abang akan tengok Nani sepuas-puasnya,” janji abang Rosman.
“Macamana kalau abang tak datang?Hah, macamana?”
Begitu cabul mulut dia mengeluarkan kata-kata tersebut. Nampak jelas abang Rosman terkejut. Termenung sebentar abang Rosman. Mungkin sedang memikirkan sesuatu.
“Abang pasti datang. Kalau tidak datang dengan jasad, abang datang dengan roh abang. Cuma Nani aje yang tak nampak abang. Abang nak diri abang hidup dalam diri Nani masa tu,”
Terlalu sayu dia mendengarkan penjelasan abang Rosman. Tidak sanggup rasanya dia kehilangan insan seperti abang Rosman.
Tapi hari ini, dia terasa seolah-olah kehilangan sesuatu. Sambil bersungut, dia memasuki ke dalam dewan SITC untuk mencari di bahagian dalam dewan tersebut. Manalah tahu abang  Rosman sudah pun berada di dalam. Kelihatan teman-temannya melambai-lambaikan tangan dengan penuh kegembiraan. Namun abang  Rosman masih juga tidak kelihatan. Hatinya sakit sekali. Dia amat tersinggung kerana penantiannya selama ini hampa. Geram betul dia terhadap abang  Rosman yang sanggup mungkir pada janji. Dia sudah tidak peduli lagi. Biarlah apa pun yang berlaku. Yang penting hari ini dia akan menerima segulung ijazah. Dia sudah tidak menghiraukan lagi penantiannya. Bagi dirinya, apa perlu dinantikan orang yang mungkir pada janji. Lebih baik dia melayan perasaan gembira bersama-sama temannya yang lain.
Demi menghilangkan rasa kecewanya, dia mereka-reka cerita dan memberitahu teman-temannya bahawa abang Rosman tidak dapat hadir sebab terlibat dengan kemalangan semasa hendak datang ke majlis konvokesyen tersebut dengan harapan teman-temannya tidak lagi memberikan pertanyaan yang menyakitkan lagi hatinya yang kecewa.
“Abang  Rosman tak dapat hadir. Dia accident tadi. Dia sampaikan salam pada kawan-kawan,” kata dia pada teman-temannya.
“Teruk ke?”tanya teman sebelahnya.
“Taklah teruk sangat. Tapi dia call tadi kata tak sempat tiba pada waktunya,” balas dia sambil lewa.
“Pedulikan. Kalau dia ingatkan janjinya pasti dia datang. Ini, kita tunggu sampai dah naik bengkak kaki tak tiba-tiba,” bisik hati kecilnya.
Kedengaran nama mahasiswa dipanggil seorang demi seorang untuk mengambil gulungan ijazah. Dia tersenyum puas kerana selama ini usaha yang dilakukan telah membuahkan hasil. Dia gembira yang teramat sangat.
Entah kenapa secara tiba-tiba perasaannya menjadi amat pilu.
“Ijazah ini bukan untuk diriku seorang. Untuk anak didikku, untuk anak bangsaku. Ini azamku. Perjalananku masih jauh lagi,” kata-kata tersebut bermain-main di benaknya.
Dia terbayangkan masa depan hidupnya yang bakal dilalui. Terasa penuh dengan tanggungjawab yang perlu dipikul. Tanggungjawab seorang pendidik kepada anak bangsa. Dia terasa takut apabila mengingatkannya.
Namun begitu, hatinya menjadi tenang apabila teringatkan kata-kata abang Rosman mengenai profesion yang akan diceburinya kelak.
“Nani perlu pastikan matlamat seorang pendidik. Yang paling utama adalah mendidik anak bangsa menemukan kembali jati diri mereka yang semakin lenyap ditelan kemajuan. Apa gunanya tamadun kiranya bangsa kita sendiri hilang arah tuju.”
Semangatnya membara tiba-tiba. Dia akan memastikan matlamatnya sebagai pendidik tidak akan tersasar. Dia memerhatikan kerusi tempat abang Rosman sepatutnya duduk. Kelihatan sesusuk tubuh yang amat dikenalinya sedang tekun membaca sesuatu.
“Eh, abang Rosman. Bila pulak dia masuk.”
Dia amat tersinggung kerana abang Rosman tidak mencari dan memberitahu mengenai kehadirannya di dalam dewan tersebut.
Dalam keadaan yang kecewa serta tertanya-tanya itu, abang Rosman berpaling dan merenungnya dengan wajah yang amat tenang. Jelas tergambar senyuman abang Rosman. Senyuman yang amat dinanti-nantikan. Mahu rasanya dia menerpa ke arah abang Rosman tetapi keadaan tidak mengizinkan. Dia tersentak seketika apabila teman di belakang menepuk bahunya.
“Nani, nama kau dipanggil tu. Pergi le cepat. Apalah kau ni, asyik termenung aje,” tegur teman sekuliahnya.
Dalam terpinga-pinga itu, dia bangun. Namun pandangan matanya masih tidak lepas dari memerhatikan wajah abang Rosman yang sedang tersenyum. Senyuman abang Rosman amat beerti bagi dirinya. Dari gerak bibir abang Rosman, dia mengetahui bahawa abang Rosman mengucapkan tahniah atas kejayaannya.
“Tahniah Nani. Abang bangga dengan dirimu.”
Dia merasa amat gembira. Gembira kerana abang Rosman ada menyaksikan dia menerima skroll ijazah sebagaimana yang dihajatinya. Turun dari atas pentas, dia mencari-cari abang Rosman. Tapi puas dicari, abang Rosman tidak kelihatan. Dia kecewa untuk kali yang kedua. Dia mengeluh.
“Abang Rosman, kat manalah abang sekarang ni. Abang dah lupakan Nani ye. Nani amat perlukan abang di sisi Nani,” bisiknya lagi.
Keluar dari Dewan SITC, namanya dipanggil oleh seseorang yang tidak dikenali.
“Cikgu Rosmini ya?”tegurnya
“Saya. Kenapa? Maaf saya tidak mengenali akak,” pantas dia menjawab soalan tersebut.
“Ya, kakak pun tak kenal Cikgu Rosmini. Puas kakak cari cikgu dengan bertanyakan kawan-kawan cikgu,” katanya lagi.
“Kakak cuma nak sampaikan salam adik kakak,  Rosman.”
“Oh, akak ni kakak kepada abang  Rosman ya? Kat mana abang Rosman kak. Tadi saya nampak dia ada kat dalam dewan. Lepas tu pergi macam tu aje,”
Ingin sekali dia katakan kepadanya yang dia bencikan abang Rosman sebab muncul dan pergi ikut sesuka hatinya sahaja. Lantas dengan nada yang keras dia berkata,
“Abang Rosman dah lupakan janji dia pada saya, kak. Janji nak ambil ijazah sama-sama. Saya frust, kak. Nanti kakak kirimkan salam saya pada abang  Rosman. Katakan pada dia, orang yang lupa pada janji memang tak boleh dibuat teman”
“ Rosman ada kat dalam dewan tadi?” kata wanita yang mengenalkan dirinya sebagai kakak kepada abang Rosman.
“Ya, tadi ada. Tapi saya tak sempat nak panggil. Ingatkan nak jumpa dia lepas majlis. Tau-tau dah hilang.”
“Cikgu Rosmini. Maaf.  Rosman tak dapat datang. Dia kemalangan semasa nak ke sini. Keretanya dirempuh dari belakang dan dia meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital. Kakak diminta berjumpa dengan cikgu atas amanat terakhirnya yang memohon berbanyak-banyak maaf kerana menghampakan impian cikgu selama ini,” katanya dalam linangan airmata.
“Cikgu Rosmini. Pesannya juga agar cikgu sentiasa ingat. Dirinya tetap hidup walaupun takdir menetapkan dia sudah tak ada lagi. Dia nak cikgu sentiasa tersenyum gembira,” sambungnya lagi
“Itu sahaja yang dapat kakak beritahu. Kakak mohon izin pergi kerana nak menguruskan jenazah  Rosman untuk dibawa balik ke kampung.”
Dia tidak dapat berkata-kata. Cuma yang dapat dilakukannya hanyalah mengiringi pemergian wanita tersebut dengan pandangan yang berpinar-pinar. Jelas kedengaran lagi kata-kata sewaktu marahnya tadi yang mengatakan abang Rosman kemalangan. Kekesalan menghantui perasaannya dikala itu. Seolah-olah dia yang mendoakan kemalangan tersebut berlaku. Terngiang-ngiang kata-katanya kepada teman-temannya tadi.
“Abang  Rosman tak dapat datang. Dia kemalangan.”
Betapa hancur luluh perasaannya pada ketika itu hanya tuhan sahaja yang mengetahuinya. Kelihatan beberapa orang temannya datang menghampirinya untuk bertanyakan sesuatu. Ahli keluarganya juga berlari-lari mendapatkannya untuk meraikan kejayaan yang baru diperolehi. Masing-masing terdiam apabila melihatkan keadaan Nani pada ketika itu.
“Nani, kenapa ni. Kenapa engkau macam terkejut aje?” sapa teman sekuliahnya.
“Abang  Rosman. Abang  Rosman dah meninggal. Dia kemalangan semasa nak datang ke sini tadi,” dia menjawab pertanyaan temannya.
“Eh, betul ke. Tadi kau kata Abang  Rosman kemalangan sikit aje. Ni meninggal pulak. Apa yang berlaku sebenarnya?”
Terus dia terduduk ke lantai lalu tidak sedar apa yang berlaku. Yang pasti pada ketika itu, dia berasa kesal yang teramat sangat kerana kata-katanya tadi. 

No comments:

Post a Comment