IMPIAN SEMALAM
Cuma yang dapat kuberikan : selembar langit kenyataan
tanpa bulan atau bintang, lipat dan simpanlahdalam almari kenangan agar tidak
kotor dek awan yang sentiasa membuat nasib kita menjadi kelam
Sudah lama dia berdiri di situ. Dah
naik kematu tumit kakinya, namun apa yang dinanti-nantikan masih belum
kelihatan lagi. Tidak lama lagi, seluruh dewan ini akan dibanjiri oleh kalangan
mahsiswa yang sudah resah menunggu tibanya saat mereka akan dianugerahkan
segulung ijazah. Dewan SITC merupakan lambang kemegahan kepada pelajar yang
telah menamatkan pengajian mereka. Suasana kegembiraan jelas terbayang di wajah
mereka serta kaum keluarga yang begitu sibuk mengambil gambar kenang-kenangan.
Bukan senang hendak merasai suasana yang sedemikian. Kesempatan tersebut
diambil dengan sepenuh-penuhnya. Hingar-bingar jadinya sekitar kawasan
tersebut.
Dalam suasana yang riuh itu, dia masih
lagi tercari-cari seseorang yang selama ini dinantikannya. Kelibat abang
Rosman pun tidak terlihat. Puas dia mencari di segenap pelusuk dewan
bersejarah yang akan menyaksikannya menggenggam segulung ijazah sebagai tanda
usahanya selama ini mendatangkan hasil yang tidak ternilai.
“Mustahil kau boleh melupakan janjimu yang kau sendiri
katakan sebagai impian yang kau cari
selama ini,” bisik hati kecilnya.
“Nani,”
Terdengar seruan keras dari belakangnya. Dia menoleh.
Kelihatan teman sekuliahnya melambaikan tangan memanggil-manggil. Masing-masing
dalam kegembiraan. Namun, dia masih lagi tercari-cari. Bukan teman-teman
sekuliahnya yang dinantikan kehadiran. Dia menantikan kemunculan seseorang yang
telah banyak berkorban berjuang bersamanya untuk meraih kejayaan.
Dia terkenangkan seraut wajah yang banyak memberikan
bantuan tanpa rasa jemu. Kepadanya disandarkan harapan agar sama-sama menempuh
setiap rintangan yang mendatang dengan tabah dan penuh kesabaran. Seorang yang
selama ini menjadi tulang belakang kehidupannya yang terduga oleh kerakusan
teman-teman seusianya melalui alam remaja. Suatu alam yang terbentang luas
laluan hidup yang bakal menentukan masa depannya.
Dia hanyut dalam dunianya sehinggakan terlupa bahawa dia
mempunyai misi yang amat besar untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang. Dia
terlupa wajah-wajah harapan ayah dan ibu. Dia juga terlupa tugas seorang kakak
yang akan menjadi contoh kepada adik-adiknya.
Sehinggalah dia terperangkap dalam kisah percintaan yang
kepura-puraan. Nyaris-nyaris lagi masa depannya menjadi gelap. Dia terpedaya
dengan pujuk rayu serta janji manis seorang yang telah bergelar pendidik.
Seorang yang selama ini amat dihormati, apatah lagi dengan profesion perguruan
yang disanjung. Dia jadi benci pada insan bergelar pendidik. Seorang pendidik
yang tidak memikirkan tanggungjawab sebagai pendidik tetapi mengambil peluang
atas kelemahan dirinya seorang gadis remaja ketika itu.
Dia hampir-hampir tewas dalam perjuangannya hanya kerana
dia tidak dapat membezakan antara tanggungjawab dengan alam remajanya. Alam
remajanya penuh dengan kehidupan teman-teman yang kepura-puraan. Tidak ada
seorangpun yang mampu memberikan
kepastian bahawa hidup ini mempunyai penghujung yang ditentukan oleh diri
sendiri. Masing-masing hanyut dalam ego yang diciptakan demi meraih kejayaan.
Ianya bukanlah suatu kepastian tapi hanyalah suatu harapan yang tidak pasti
kunjungan kejayaan.
Hidupnya menjadi tidak keruan. Dia sudah tidak pasti hala
tujunya semasa awal pengajiannya. Apabila keputusan peperiksaan semester
pertama diumumkan, keputusannya berada di paras cukup makan sahaja. Dia sekadar
mampu meneruskan pengajian dengan hanya mengharapkan agar tiga tahun berlalu
dengan cepat. Apa yang penting, dia perlu menamatkan pengajian dan kemudian
dapat bertugas. Ketika itu nanti, dia akan menerima gaji dan dapat berbelanja
mengikut kehendak serta seleranya. Tidak terfikir langsung hendak memartabatkan
profesion perguruan.
Namun begitu, abang Rosman muncul dalam keadaan yang
berbeza. Pandangan buruknya terhadap seorang yang bergelar pendidik semakin
terhakis. Abang Rosman telah membuka laluan yang sebenar bagi seorang pendidik.
Malah, dia seolah-olah tersedar dari lena oleh khayalan-khayalan yang
dibinanya. Selama ini dia menganggap segala-gala yang berlaku adalah takdir
yang telah ditetapkan dan takdir tersebut wajar diterima dengan kerelaan. Takdir
itulah yang menyebabkan hidupnya hilang punca. Sedikit demi sedikit, abang
Rosman memperbetulkan keadaan. Keyakinan mula menapak satu persatu.
“Kita yang menentukan takdir hidup ini. Bukan hanya
berserah sahaja. Andai kita berserah maka kita akan melalui kehidupan ini
dengan rentak yang telah ditetapkan. Kita perlu mencorakkan takdir kita dengan
keyakinan bahawa kita adalah makhluk tuhan yang perlu berusaha bukan dengan
hanya berharap”, bicara abang Rosman
suatu hari.
“Apa yang penting adalah kita perlu yakin terhadap
kemampuan yang dimiliki. Jangan sekali-kali dipersiakan keistimewaan yang
dikurniakan. Gunakan dengan sebaik mungkin. Ingat, kita akan menjadi seorang
pendidik. Tanggungjawabnya amat berat. Kadang-kadang kita keliru antara tugas
dan tanggungjawab tapi yang penting sekali kita tanya diri kita apa kehendak
serta matlamat yang sebenarnya. Maaf, kiranya apa yang abang perkatakan ni
membuatkan Nani meragui profesion yang Nani ceburi nanti. Abang cuma mahu Nani
tetap pendirian.”
Masih terngiang-ngiang kata-kata tersebut yang banyak
menyedarkan dirinya supaya lebih tabah dan mempuanyai kekuatan semangat
menempuh gelora sebagai seorang mahasiswa di pusat pengajian tinggi.
“Nani, suatu masa nanti, abang nak lihat di dalam dada
akhbar namamu tercatat sebagai seorang ahli akademik yang sentiasa memberikan
pandangan yang bernas mengenai isu-isu melibatkan kepincangan masyarakat,”
abang Rosman menyatakan harapan
terhadapnya.
“Abang nak tengok Nani memperjuangkan nasib anak bangsa
tanpa ada sebarang niat yang tersembunyi. Biar masyarakat tahu, kita warga
pendidik tidak pernah jemu memastikan anak didik kita menuju arah
kesempurnaan.”
“Terlalu tinggi harapan yang abang letak terhadap Nani. Tak
mampu rasanya,” dia menyanggah.
“Bukan Nani tak mampu. Tapi Nani takut menghadapi kenyataan
yang sebenarnya. Cukupkah sekadar Nani menamatkan pengajian hanya dengan
memperolehi ijazah dan kemudian menempuh alam pekerjaan sebagai pendidik yang
pastinya mewarnai hidup Nani selama-lamanya demi kepentingan diri sendiri. Apa
akan jadi dengan kehendak masyarakat yang mahukan kita sebagai wakil mereka
memperkembangkan lagi pengetahuan serta keilmuan agar anak bangsa lebih mantap
penerimaan ilmu mereka.”
“Pentingkah semua itu? Apa, tak cukupkah pengorbanan yang
kita tempuhi demi mengejar ijazah yang akan kita terima nanti?” dia masih lagi
mempertahankan sanggahannya.
“Apa yang kita lalui bukanlah pengorbanan. Kita lebih
mementingkan diri kita sendiri. Pengorbanan yang sebenarnya adalah sebagai
peringatan bahawa hidup kita ini adalah merupakan pentas kehidupan kepada
masyarakat memperolehi hasil dari kejayaan kita selama ini.”
Bicaranya amat pantas dalam menentang kecelaruan yang
selama ini dia hadapi. Apa yang pasti, kata-kata tersebut menaikkan semangatnya
agar lebih yakin terhadap kemampuan dirinya.
Suasana kuliah sering terganggu oleh ketegasan bicara
abang Rosman yang mahukan agar setiap
ilmu pengetahuan yang disampaikan oleh pensyarah dapat dimanfaatkan
sebaik-baiknya. Abang Rosman amat
bencikan karenah bakal-bakal pendidik masa kini yang melupakan hasrat sebenar
perjuangan seorang pendidik. Ketegasannya acapkali menimbulkan rasa tidak
senang di kalangan teman-teman seperjuangan. Apa tidaknya, bukan ilmu
pengetahuan yang dikejar, sebaliknya pekerjaan yang bakal diperoleh dijadikan
sebagai kiblat. Sepatutnya, bakal seorang pendidik sewajarnya mengejar ilmu
pengetahuan. Yang dikejar hanyalah pekerjaan yang bakal memberikan pendapatan
yang cukup untuk memenuhkan poket pada setiap awal bulan.
Dia sendiri pada awalnya tidak pasti apa sebenarnya yang
dicari. Sehinggalah abang Rosman banyak memberikan kesedaran mengenai
tanggungjawab yang harus dipikul olehnya sebagai seorang pendidik suatu masa
nanti. Abang Rosman sering
memperjuangkan pengorbanan seorang pendidik bukan setakat mendidik anak didik
sahaja namun ada tugas yang lebih berat iaitu memastikan ilmu pengetahuan
dijadikan sebagai tunjang hala tuju. Ilmu pengetahuan adalah segala-galanya
bagi seorang pendidik. Dengan ilmu pengetahuan, seorang pendidik mampu
memastikan kehendak wawasan negara tercapai dengan jayanya.
“Suatu masa nanti, Nani perlu mencapai impian abang yang
mahu mengejar ilmu pengetahuan tanpa jemu. Nani kena teruskan usaha abang
andainya abang tidak mampu melakukannya,” kata abang Rosman kepadanya di tepi kelas semasa menantikan pensyarah tampil
memberikan kuliahnya.
“Kenapa abang cakap macamtu? Kan tu impian kita bersama.
Nani tak mampu menghadapinya keseorangan,” pantas dia membalas. Direnungnya
seraut wajah gigih bakal seorang pendidik tersebut.
“Entahlah. Abang terasa seolah-olah perjalanan abang tiada
penghujungnya,”kata abang Rosman.
“Nani tak suka abang cakap macamtu lagi,” pantas dia
memintas kata-kata abang Rosman.
Sememangnya benar kata-kata abang Rosman. Ilmu pengetahuan menjadi kayu pengukur
seorang pendidik. Bukanlah pangkat atau jawatan. Juga bukan gelaran yang perlu
diraih. Apa gunanya pangkat serta gelaran kalau anak didik yang kita hasilkan
hanyalah sebagai memenuhkan kekosongan kelompok masyarakat yang tidak ada
ketamadunan. Di mana janji setia sebagai seorang guru yang hanya mampu mengajar
bukan mendidik. Selama ini, kalau disebut guru, apa yang tergambar dalam
pemikiran masyarakat adalah golongan yang memberikan pengetahuan kepada
anak-anak mereka. Penuh dengan harapan agar anak-anak mereka dapat diberikan
sepenuhnya ilmu pengetahuan yang memungkinkan mereka dapat hidup senang
dikemudian hari.
Tidak kira dalam apa juga tindakan yang dilakukan. Seorang
guru sewajarnya memegang tanggungjawab yang teramat berat. Perkerjaan guru
bukan dijadikan sebagai suatu tiket untuk meraih pekerjaan dalam situasi masa
kini. Tugas seorang guru semakin lama semakin mencabar.
Tiba-tiba lamunannya terganggu dengan kehadiran beberapa
orang teman seperjuangannya.
“Nani, kau belum lagi mendaftar sebagai penerima ijazah kat
dewan sana”, kata Sazu temannya yang banyak mendatangkan masalah sepanjang masa
pengajiannya.
“Nanti. Kejap lagi aku pergilah”. dia memberitahu.
“Kau tunggu abang
Rosman ke?” Soal Sazu.
“Kenapa, kau ada nampak dia?”
“Tak. Dia sorang saja yang aku belum nampak. Semua teman
kita dah ada. Kau tak nak jumpa kawan-kawan?” Sazu masih lagi menyoal.
“Alah, kalau jumpa pun nak buat apa.Aku tengah tunggu abang
Rosman ni. Kau pergilah dulu.”
Bagi dia, teman-temannya tidak penting. Yang penting, dia menantikan
kehadiran seorang yang telah berjanji dengannya. Tanpa kehadirannya, terasa
sia-sia perjuangannya selama ini. Apa yang diharapkan selama ini hanyalah
menggenggam segulung ijazah bersama orang yang selama ini disayangi tanpa rasa
ragu. Ini suatu kepastian yang tidak dapat diubah.
Pernah dia menyuarakan persoalan kepada abang Rosman
mengenai ikatan perkenalan antara dia dengan abang Rosman. Namun jawapan yang
diterima amat menusuk hati dan perasaannya.
“Suatu masa dulu, abang telah menamatkan pengajian abang di
maktab perguruan. Tapi masa tu, abang tak punya matlamat hidup. Abang tak tahu
apa yang abang cari selama ini. Abang tak naik atas pentas pun untuk terima
sijil perguruan semasa majlis anugerah sijil maktab. Kemudian, abang sambung
pengajian abang kat Universiti Malaya dan dah tamat pun. Juga abang tak naik
pun atas pentas untuk terima diploma abang. Abang tak tak tahu apa sebenarnya
kehendak hidup abang. Terlalu kosong rasanya.”
Abang Rosman terdiam sebentar. Dia merenung tepat ke arah
raut wajah abang Rosman. Tergambar segunung harapan yang tidak pernah terfikir
oleh dia untuk menyelami sedalam-dalamnya.
“Tapi kat UPSI ni, abang temui sesuatu yang tidak ternilai
untuk abang tukar ganti dengan nyawa abang. Yang pertama ilmu dan yang kedua
Nani.”
Abang Rosman memandang ke arah bangunan Suluh Budiman yang
menjadi lambang kepada warga UPSI meneruskan wadah perjuangan pendidik masa
lalu.
“Abang simpan impian abang untuk hidup dengan ilmu, untuk
hidup dengan Nani sepanjang hayat sepanjang zaman. Abang teringin sangat nak
naik atas pentas masa konvokesyen, nak genggam skrol ijazah abang. Abang dah
jumpa matlamat hidup abang.”
Dalam kesibukkan itu, dia terlihatkan kelibat seorang
lelaki yang dinantikan selama ini. Terus dia berlari ke arah lelaki tersebut.
“Abang, kenapa lambat?”
Terkejut yang amat sangat dia kerana lelaki tersebut
bukannya orang yang dicari.
“Maaf. Saya tersalah orang,” tersipu-sipu malu dia
menyatakan kesilapannya.
“Mana ni. Leceh betullah. Nanti bila dah masuk kat dalam
dewan, tak dapat aku nak bergambar. Orang dah tunggu dari tadi lagi.
Jangan-jangan dia dah lupa kot. Eh, mana boleh. Dia yang sentiasa ingatkan
kita. Takkan dia lupa,” dia berbisik di dalam hati.
“Nanti masa kita terima skroll ijazah, abang nak genggam
tangan Nani kuat-kuat. Nani jangan pergi jauh-jauh tau. Tak sabar rasanya nak
tengok Nani pakai jubah konvokesyen.”
“Nani pun tak sabar, abang. Nani nak ambil gambar kita
berdua dan lepas tu, Nani nak gantung gambar tu kat dinding rumah. Kat gambar
tu ada nostalgia yang tak dapat Nani beli dengan wang ringgit. Boleh tak ,
abang?”
Abang Rosman hanya tersenyum riang. Dia pasti ketika itu
impiannya hanyalah untuk hidup bersama abang Rosman buat selama-lamanya. Tidak
mungkin ada sesiapa pun yang mampu mencurahkan seluruh kehidupannya demi dia
sebagaimana yang dilakukan oleh abang Rosman. Terlalu unggul pengorbanan yang
diberikan olehnya. Malah nama tersebut telah bertakhta dihati dengan begitu
indahnya.
“Abang akan datang. Abang akan datang cari Nani. Abang akan
tengok Nani sepuas-puasnya,” janji abang Rosman.
“Macamana kalau abang tak datang?Hah, macamana?”
Begitu cabul mulut dia mengeluarkan kata-kata tersebut.
Nampak jelas abang Rosman terkejut. Termenung sebentar abang Rosman. Mungkin
sedang memikirkan sesuatu.
“Abang pasti datang. Kalau tidak datang dengan jasad, abang
datang dengan roh abang. Cuma Nani aje yang tak nampak abang. Abang nak diri
abang hidup dalam diri Nani masa tu,”
Terlalu sayu dia mendengarkan penjelasan abang Rosman.
Tidak sanggup rasanya dia kehilangan insan seperti abang Rosman.
Tapi hari ini, dia terasa seolah-olah kehilangan sesuatu.
Sambil bersungut, dia memasuki ke dalam dewan SITC untuk mencari di bahagian
dalam dewan tersebut. Manalah tahu abang
Rosman sudah pun berada di dalam. Kelihatan teman-temannya
melambai-lambaikan tangan dengan penuh kegembiraan. Namun abang Rosman masih juga tidak kelihatan. Hatinya
sakit sekali. Dia amat tersinggung kerana penantiannya selama ini hampa. Geram
betul dia terhadap abang Rosman yang
sanggup mungkir pada janji. Dia sudah tidak peduli lagi. Biarlah apa pun yang
berlaku. Yang penting hari ini dia akan menerima segulung ijazah. Dia sudah
tidak menghiraukan lagi penantiannya. Bagi dirinya, apa perlu dinantikan orang
yang mungkir pada janji. Lebih baik dia melayan perasaan gembira bersama-sama
temannya yang lain.
Demi menghilangkan rasa kecewanya, dia mereka-reka cerita
dan memberitahu teman-temannya bahawa abang Rosman tidak dapat hadir sebab
terlibat dengan kemalangan semasa hendak datang ke majlis konvokesyen tersebut
dengan harapan teman-temannya tidak lagi memberikan pertanyaan yang menyakitkan
lagi hatinya yang kecewa.
“Abang Rosman tak
dapat hadir. Dia accident tadi. Dia
sampaikan salam pada kawan-kawan,” kata dia pada teman-temannya.
“Teruk ke?”tanya teman sebelahnya.
“Taklah teruk sangat. Tapi dia call tadi kata tak sempat tiba pada waktunya,” balas dia sambil
lewa.
“Pedulikan. Kalau dia ingatkan janjinya pasti dia datang.
Ini, kita tunggu sampai dah naik bengkak kaki tak tiba-tiba,” bisik hati
kecilnya.
Kedengaran nama mahasiswa dipanggil seorang demi seorang
untuk mengambil gulungan ijazah. Dia tersenyum puas kerana selama ini usaha
yang dilakukan telah membuahkan hasil. Dia gembira yang teramat sangat.
Entah kenapa secara tiba-tiba perasaannya menjadi amat
pilu.
“Ijazah ini bukan untuk diriku seorang. Untuk anak didikku,
untuk anak bangsaku. Ini azamku. Perjalananku masih jauh lagi,” kata-kata
tersebut bermain-main di benaknya.
Dia terbayangkan masa depan hidupnya yang bakal dilalui.
Terasa penuh dengan tanggungjawab yang perlu dipikul. Tanggungjawab seorang
pendidik kepada anak bangsa. Dia terasa takut apabila mengingatkannya.
Namun begitu, hatinya menjadi tenang apabila teringatkan
kata-kata abang Rosman mengenai profesion yang akan diceburinya kelak.
“Nani perlu pastikan matlamat seorang pendidik. Yang paling
utama adalah mendidik anak bangsa menemukan kembali jati diri mereka yang
semakin lenyap ditelan kemajuan. Apa gunanya tamadun kiranya bangsa kita
sendiri hilang arah tuju.”
Semangatnya membara tiba-tiba. Dia akan memastikan
matlamatnya sebagai pendidik tidak akan tersasar. Dia memerhatikan kerusi
tempat abang Rosman sepatutnya duduk. Kelihatan sesusuk tubuh yang amat
dikenalinya sedang tekun membaca sesuatu.
“Eh, abang Rosman. Bila pulak dia masuk.”
Dia amat tersinggung kerana abang Rosman tidak mencari dan
memberitahu mengenai kehadirannya di dalam dewan tersebut.
Dalam keadaan yang kecewa serta tertanya-tanya itu, abang
Rosman berpaling dan merenungnya dengan wajah yang amat tenang. Jelas tergambar
senyuman abang Rosman. Senyuman yang amat dinanti-nantikan. Mahu rasanya dia
menerpa ke arah abang Rosman tetapi keadaan tidak mengizinkan. Dia tersentak
seketika apabila teman di belakang menepuk bahunya.
“Nani, nama kau dipanggil tu. Pergi le cepat. Apalah kau
ni, asyik termenung aje,” tegur teman sekuliahnya.
Dalam terpinga-pinga itu, dia bangun. Namun pandangan
matanya masih tidak lepas dari memerhatikan wajah abang Rosman yang sedang
tersenyum. Senyuman abang Rosman amat beerti bagi dirinya. Dari gerak bibir
abang Rosman, dia mengetahui bahawa abang Rosman mengucapkan tahniah atas
kejayaannya.
“Tahniah Nani. Abang bangga dengan dirimu.”
Dia merasa amat gembira. Gembira kerana abang Rosman ada
menyaksikan dia menerima skroll ijazah sebagaimana yang dihajatinya. Turun dari
atas pentas, dia mencari-cari abang Rosman. Tapi puas dicari, abang Rosman
tidak kelihatan. Dia kecewa untuk kali yang kedua. Dia mengeluh.
“Abang Rosman, kat manalah abang sekarang ni. Abang dah
lupakan Nani ye. Nani amat perlukan abang di sisi Nani,” bisiknya lagi.
Keluar dari Dewan SITC, namanya dipanggil oleh seseorang
yang tidak dikenali.
“Cikgu Rosmini ya?”tegurnya
“Saya. Kenapa? Maaf saya tidak mengenali akak,” pantas dia
menjawab soalan tersebut.
“Ya, kakak pun tak kenal Cikgu Rosmini. Puas kakak cari
cikgu dengan bertanyakan kawan-kawan cikgu,” katanya lagi.
“Kakak cuma nak sampaikan salam adik kakak, Rosman.”
“Oh, akak ni kakak kepada abang Rosman ya? Kat mana abang Rosman kak. Tadi
saya nampak dia ada kat dalam dewan. Lepas tu pergi macam tu aje,”
Ingin sekali dia katakan kepadanya yang dia bencikan abang
Rosman sebab muncul dan pergi ikut sesuka hatinya sahaja. Lantas dengan nada
yang keras dia berkata,
“Abang Rosman dah lupakan janji dia pada saya, kak. Janji
nak ambil ijazah sama-sama. Saya frust, kak. Nanti kakak kirimkan salam saya
pada abang Rosman. Katakan pada dia,
orang yang lupa pada janji memang tak boleh dibuat teman”
“ Rosman ada kat dalam dewan tadi?” kata wanita yang
mengenalkan dirinya sebagai kakak kepada abang Rosman.
“Ya, tadi ada. Tapi saya tak sempat nak panggil. Ingatkan
nak jumpa dia lepas majlis. Tau-tau dah hilang.”
“Cikgu Rosmini. Maaf.
Rosman tak dapat datang. Dia kemalangan semasa nak ke sini. Keretanya
dirempuh dari belakang dan dia meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital.
Kakak diminta berjumpa dengan cikgu atas amanat terakhirnya yang memohon
berbanyak-banyak maaf kerana menghampakan impian cikgu selama ini,” katanya
dalam linangan airmata.
“Cikgu Rosmini. Pesannya juga agar cikgu sentiasa ingat.
Dirinya tetap hidup walaupun takdir menetapkan dia sudah tak ada lagi. Dia nak
cikgu sentiasa tersenyum gembira,” sambungnya lagi
“Itu sahaja yang dapat kakak beritahu. Kakak mohon izin
pergi kerana nak menguruskan jenazah
Rosman untuk dibawa balik ke kampung.”
Dia tidak dapat berkata-kata. Cuma yang dapat dilakukannya
hanyalah mengiringi pemergian wanita tersebut dengan pandangan yang
berpinar-pinar. Jelas kedengaran lagi kata-kata sewaktu marahnya tadi yang
mengatakan abang Rosman kemalangan. Kekesalan menghantui perasaannya dikala
itu. Seolah-olah dia yang mendoakan kemalangan tersebut berlaku.
Terngiang-ngiang kata-katanya kepada teman-temannya tadi.
“Abang Rosman tak
dapat datang. Dia kemalangan.”
Betapa hancur luluh perasaannya pada ketika itu hanya tuhan
sahaja yang mengetahuinya. Kelihatan beberapa orang temannya datang
menghampirinya untuk bertanyakan sesuatu. Ahli keluarganya juga berlari-lari
mendapatkannya untuk meraikan kejayaan yang baru diperolehi. Masing-masing
terdiam apabila melihatkan keadaan Nani pada ketika itu.
“Nani, kenapa ni. Kenapa engkau macam terkejut aje?” sapa
teman sekuliahnya.
“Abang Rosman.
Abang Rosman dah meninggal. Dia
kemalangan semasa nak datang ke sini tadi,” dia menjawab pertanyaan temannya.
“Eh, betul ke. Tadi kau kata Abang Rosman kemalangan sikit aje. Ni meninggal
pulak. Apa yang berlaku sebenarnya?”
Terus dia terduduk ke lantai lalu tidak sedar apa yang
berlaku. Yang pasti pada ketika itu, dia berasa kesal yang teramat sangat
kerana kata-katanya tadi.