‘Keagungan
cinta
daripada
dua hati yang disatu
tidak mungkin dapat dipisahkan,
ingat
kalimat agung ni sampai bila-bila.
Selagi ada hayat selagi itulah kalimat ini
tetap agung’
Aku bertukar tempat kerja ke sebuah tempat yang tidak pernah
terlintas langsung di alam hidupku iaitu pekan Seri Menanti. Sebuah pekan yang
sederhana besarnya. Sebuah perkampungan nelayan. Pekan yang diwarnai dengan
keindahan pantainya yang menawan hati kepada sesiapa yang ingin mencari
ketenangan.
Bukan sahaja
pantainya yang indah, malah mitos nama Seri Menanti juga amat menarik untuk
direnung. Mitos mengenai cinta sejati sepasang kekasih yang tidak menperolehi
restu keluarga masing-masing. Kisah seorang gadis bernama Seri yang mencintai
kekasihnya tanpa ragu. Namun, setiap kisah cinta memerlukan pengorbanan yang
amat tidak ternilai. Kekasihnya itu pergi buat selama-lamanya dan tidak akan
kembali lagi dalam pelayaran mencari kehidupan yang lebih sempurna. Seri yang
tidak mempercayai pemergian kekasihnya itu masih setia menantikan kepulangan
orang yang dicintainya tanpa menghiraukan masa yang berlalu. Setiap petang,
Seri akan menantikan kepulangan kekasihnya di tepi pantai tersebut. Sehinggalah
Seri sendiri akhirnya menurut jejak kekasihnya. Nama Seri Menanti disemadikan
bersempena mitos tersebut. Sebuah mitos cinta yang agung.
Pantai Seri Menanti
adalah persinggahan bagi perjalanan hidupku yang entah keberapa. Aku sendiri
tidak pasti. Setiap persinggahan, pastinya aku mencari pantai. Pantai membawa
seribu makna dalam hidupku. Selama ini aku mencari seseorang yang sering
menjelma di dalam mimpi indahku. Dalam mimpi itu, pantai menjadi saksi
pertemuan aku dengannya. Setiap pantai pada setiap persinggahanku, belum lagi
aku menemuinya. Aku akan tetap meneruskan pencarianku walau apapun yang
berlaku. Pencarian bagi sebuah mimpi indah.
Petang itu aku
pergi ke pantai Seri Menanti. Di pantai itu, aku dapat lihat betapa indahnya
lautan luas yang terbentang. Kelihatan tompok-tompok awan menambahkan lagi keindahannya. Suasana amat nyaman
sekali. Tiupan bayu laut menyapa mesra sekujur tubuhku. Tampak jelas di ruang
mataku, betapa agungnya ciptaan Allah s.w.t.
Secara tiba-tiba,
hatiku rasa tersentuh. Perasaan sayu menyelimuti seluruh sudut hati ini. Aku
tidak tahu apakah sebabnya. Pantai Seri Menanti seolah-olah menantikan
kehadiranku. Seolah-olah mahu memberitahu kepadaku bahawa ada cinta sejati akan
muncul di sini. Tiupan bayu serta deruan ombaknya mengalunkan lagu-lagu cinta
yang indah.
Kali ini aku mahu
berbicara dengan pantai. Aku mahu menyatakan kepada pantai bahawa aku amat
merindui wajah laut yang tenang. Puas aku mencari, namun seringnya kehampaan
yang mendakapku. Terkadang aku tertanya-tanya, apakah setiap pertemuan pasti
ada perpisahan, apakah setiap persinggahan perlu ada nostalgia yang mampu
membuatkan aku lesu tidak bermaya.
Kepada pantai Seri
Menanti yang indah itu, aku berbicara dari hati ke hati. Aku mohon agar ada
takdir indahku di pantai ini. Aku mahu ada pertemuan antara aku dengan wajah
laut. Wajah laut aku panggil puteri. Wajah laut umpama puteri impian yang
sering hadir dalam mimpi indahku.
Sebelum ini aku
tidak mengenali wajah laut. Aku juga tidak pernah bersua dengannya. Malah yang
pasti, wajah laut hanya hadir dalam lenaku dan membuatkan aku sentiasa
tercari-cari. Pada setiap persinggahan, aku akan mencari pantai. Aku akan
menantikan kehadiran wajah laut seperti yang terlukis dalam mimpiku itu.
Mungkin pantai
cemburu pada wajah laut, lalu tidak merestui agar ada pertemuan antara aku
dengan wajah laut. Mungkin juga pantai takut akan kehilangan aku kiranya wajah
laut muncul lalu pantai akan aku lupakan. Segalanya mungkin. Tapi, andai ada
takdir indahku, wajah laut pasti akan muncul. Aku mohon pantai redha atas
ketetapan ilahi bahawa wajah laut akan muncul juga. Aku mahu pantai merestui
kehadiran wajah laut.
Aku menyusuri
persisiran pantai itu. Pantai tetap tenang, pantai tetap tidak berubah. Tiupan
bayunya yang lembut masih menyapa mesra tubuhku. Namun wajah laut tidak aku
temui.
Tiba-tiba aku
terpandangkan seseorang yang sedang memerhatikan alunan ombak pantai. Aku
terpegun seketika. Susuk tubuhnya seperti pernah aku temui tapi aku tidak pasti
di mana. Gerak hatiku membawa hayunan langkah mendekatinya. Aku berdiri di
sisinya. Lantas aku menyapa.
“Puteri”.
Betapa cabulnya
mulutku ini, memanggil seseorang dengan nama ‘puteri’ sedangkan aku tidak
pernah bersua muka dengannya. Tapi gerak hatiku ketika itu merestui panggilan
tersebut.
Dengan pantas dia
berpaling menghadap. Mata bertentang mata. Gementar seluruh tubuhku apabila
terlihatkan sinar pada matanya. Aku pasti, seseorang yang aku gelar wajah laut
menjelma bagai bidadari yang turun dari langit. Wajah laut yang sering hadir
dalam mimpi indah waktu lenaku telah muncul. Tidak ada yang berbeza. Sempurna
serta mewangi bak haruman kasturi. Wajah laut tampak jelas. Wajah laut itulah
yang sering hadir dalam mimpi indahku. Wajah laut itulah yang sering aku rindui
kehadirannya di alam nyata. Kini, wajah laut berada di hadapanku. Hanya
senyuman manisnya yang menyapa aku tatkala itu.
“Puteri”.
Aku ulangi dengan
suara yang jelas gementar. Sesungguhnya aku benar-benar menantikan kehadiran
wajah laut ini sehinggakan rasa rindu terhadapnya memuncak. Sebuah rindu yang
tidak terungkap dengan kata-kata. Seringnya dalam mimpi waktu lenaku, wajah
laut berbicara manja. Tutur katanya tenang dan menyakinkan. Ungkapan kata-kata
yang tidak pernah lekang muncul dalam mimpiku, kini sentiasa terapung dalam
kolam hatiku.
‘Keagungan cinta daripada
dua hati yang disatukan
tidak mungkin dapat
dipisahkan.
Selagi ada hayat, cinta
tetap utuh’.
Aku tidak percaya
pada cinta. Aku juga tidak percaya dua hati dapat bersatu. Namun, aku percaya
wajah laut akan muncul juga tapi bukan di alam lena. Aku sentiasa menantikan
kehadirannya tanpa jemu pada setiap persinggahan.
“Puteri?”
Terpapar soalan
yang pastinya memerlukan penjelasan lebih lanjut dariku.
“Apakah kiter mengenali saudara?”
Terbit kata-kata
dari rekahan bibir wajah laut.
“Tidak.”
“Habis, kenapa
saudara memanggil kiter puteri?”
Lidah aku kelu
seketika. Pastinya kalau aku menyatakan bahawa wajah laut sering hadir dalam
mimpi waktu lenaku, maka aku akan dianggap sebagai kurang siuman. Aku cuba untuk
menyusun kata-kata agar tidak kedengaran sumbang pada penjelasanku itu.
“Maaf, nama itu
enak untuk dipanggil kepada seorang gadis seperti puteri.”
Kelihatan senyuman
terukir di bibir wajah laut. Ada bibit kepuasan
mendengar penjelasan ringkas dariku. Mungkin ada benarnya pada penjelasan tadi.
“Apa saya
menggganggu puteri?”
Aku masih cuba untuk
menenangkan keadaan gementar yang masih menyelubungi.
“Tidak. Tapi
panggilan puteri itu mengingatkan kiter
kepada seseorang. Ah, lupakan aje…”
Wajah laut
menambahkan lagi rasa gementar yang telah sedia ada.
“Perkenalkan, kiter Idayu, anak tempatan sini. Anak
tempatan Kampung Seri Menanti”
Wajah laut
kelihatan ceria sewaktu memperkenalkan dirinya.
“Saya Noridman,
baru bertugas di tempat ini.”
“Selamat
berkenalan. Apakah Noridman selalu ke pantai?”
Wajah laut
berbicara dengan nada suara yang amat tenang. Suatu suara yang sering
kedengaran di kelopak telingaku sewaktu di alam lena. Suara yang amat aku
nantikan berkumandang di alam nyata.
“Ya, selalu! Pada
setiap persinggahan saya, pastinya pantai adalah destinasi utama. Saya suka
melihat pantai. Pantai banyak mengajar saya erti kehidupan. Lihat saja pantai
yang indah tu. Cantik bukan. Sebentar lagi, pantai akan terhakis oleh ombak
yang melanda. Ombak tidak mengenal apa itu keindahan. Yang jelas, ombak meragut
keindahan pantai tanpa ada rasa belas. Betapa buasnya ombak yang melanda,
langsung tidak menghayati erti ketenangan yang selama ini ada pada pantai.”
Suatu jawapan
panjang bagi permulaan sebuah pertemuan. Aku menyusun kata-kata agar dapat
membina kekuatan berbicara dengan wajah laut.
“ Begitu sekali
Noridman menilai kejadian alam. Bukankah itu lumrah kejadian. Pasir akan tetap
menanti kehadiran ombak. Pasir dan ombak redha atas ketetapan yang ada.”
Suasana hening
sebentar. Wajah laut merenung nun di kejauhan. Renungan yang menggamit seribu
persoalan.
“Puteri.”
Aku memecah
keheningan yang melanda ketika itu.
“Izinkan perkataan
puteri saya gunakan dalam perkenalan ini.”
Aku memerhatikan
reaksi yang muncul pada wajah laut. Namun
wajah laut tetap tenang.
“Terpulang. Asalkan
tidak mengganggu keselesaan Noridman. Lagipun, apa yang ada pada sebuah nama.”
Wajah laut menjawab
sambil merenung di kejauhan kaki langit. Suasana kembali sunyi. Hanya kelihatan
renungan sepasang mata yang menyimpan seribu persoalan ke arah kaki langit di
kejauhan itu.
“Noridman, pastinya
ada sebab kiter dipanggil puteri,
bukan. Pastinya juga ada sebab Noridman mengunjungi pantai ini. Betulkan?”
Tiba-tiba wajah
laut bersuara. Sebuah pertanyaan yang menuntut jawapan untuk kepastian. Apakah
aku perlu jujur atau berselindung di sebalik kenyataan. Tapi, dari sinar mata
wajah laut, aku tidak mampu untuk menipu. Sinar mata yang menuntut kejujuran.
“Maaf, andainya
kata-kata saya nanti membuatkan puteri bingung. Atau mungkin puteri menganggap
saya kurang siuman. Atau mungkin juga puteri membuat andaian saya tidak
berpijak di alam nyata.”
Aku cuba untuk
menyusun kata-kata.
“Kenapa harus mohon
maaf, sedangkan Noridman belum lagi menceritakan yang sebenarnya.”
Wajah laut pantas
membidas kata-kataku tadi. Terkedu aku sebentar. Benar juga kata-kata wajah
laut.
“Janji dengan saya
yang puteri tidak akan mentertawakan pada penjelasan saya nanti.”
Wajah laut hanya
tersenyum. Senyuman yang amat menyakinkan aku bahawa wajah laut menantikan
penjelasan aku dengan ikhlas.
“Puteri, apa puteri
percaya pada mimpi?”
“Apa kaitan dengan
mimpi. Bagi kiter, mimpi hanyalah
mainan tidur. Mimpi hadir umpama deraian hujan di tanah nan gersang. Hanya diri
kita sendiri yang akan memahaminya.”
“Tepat sekali. Saya
menyokong sepenuhnya kata-kata puteri itu.”
Kekuatan aku mulai
pulih. Aku yakin wajah laut sependapat. Ruang untuk aku berterus terang terbuka
luas.
“Nama puteri hadir
dalam mimpi saya. Hadir di alam lena
yang sering membuatkan saya resah setiap kali saya terjaga. Saya tidak pasti
pada mimpi itu, tapi saya sentiasa nantikan hadirnya waktu itu. Saya akan
bertemu dengan puteri di tepi sebuah pantai yang indah. Sudah banyak perhentian
saya lalui, puteri tidak pernah hadir.”
Aku berhenti
sebentar untuk menarik nafas. Gementarku semakin luput. Aku mahu meneruskan
kata-kata bagi memperjelaskan lagi maksud yang tersirat.
“Jadi Noridman
nantikan puteri yang hadir dalam mimpi tu. Apa Noridman yakin puteri itu akan
muncul. Apa Noridman tidak jemu menantikan hadirnya.”
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa.
Teruskan. Kiter senang mendengarnya.”
Aku tidak dapat
meneruskan lagi kata-kata. Aku jadi buntu. Mungkin wajah laut tidak mempercayai
penjelasan yang aku berikan. Mungkin wajah laut menganggap aku sebagai seorang
yang banyak bermain dengan ilusi. Semuanya mungkin. Aku jadi serba salah.
“Kenapa Noridman
terdiam. Kiter tersalah bicara ke?”
“Tidak.”
“Noridman nantikan
derai tawa kiter, bukan. Kemudian, kiter nyatakan yang Noridman banyak berkhayal.
Begitu?”
Aku merenung sinar
mata wajah laut. Wajah laut tersipu-sipu malu. Hairan. Bagaimana wajah laut
mengetahui apa yang tersirat dalam kotak fikirku.
“Mungkin juga.
Boleh saya teruskan.”
“Baik. Kiter mahu mendengar dengan lebih
lanjut.”
“Pada perhentian
kali ini, saya temui puteri yang hadir dalam mimpi saya. Betul-betul di hadapan
saya. Mulanya saya rasakan seolah-olah saya bermimpi, tapi…”
Aku tidak dapat
meneruskan lagi kata-kata. Aku menuju ke arah sepohon pokok yang berhampiran.
Kelihatan durinya yang tajam menunjang ke langit. Aku letakkan lenganku pada
ketajaman duri itu lalu aku tusuk sehingga terguris luka. Darah menitik ke
pergelangan tangan. Rasa sakit menyedarkan bahawa aku tidak bermimpi.
Wajah laut terkejut
memerhatikan tindakan yang aku lakukan. Pantas wajah laut bangkit lalu menekap
tapak tangannya pada luka yang berdarah itu. Di ambil selindang yang tersangkut
di bahunya. Luka itu dibalut rapi. Darah yang mengalir di sapu sehingga kering.
Selindang itu diikat sepaya dapat menghentikan pengaliran darah yang
berterusan.
“Kenapa mesti
melakukan sesuatu dengan terburu-buru. Apa Noridman anggap pertemuan ini
sebagai mimpi. Noridman masih tidak percaya yang Noridman berada di alam nyata.
Aneh. Kiter merasakan sesuatu yang
amat aneh berlaku di depan mata kini.”
Pada kali ini, aku
pula yang terkejut. Hairan atas kata-kata wajah laut. Kenapa ada keanehan pada
perlakuan aku tadi. Aku tidak memahami apa yang dibicarakan oleh wajah laut
tadi.
“Apa yang anehnya?”
“ Yalah, mimpi Noridman
tu! Kiter juga alami mimpi sebegitu.
Setiap kali kiter mimpikan pantai
ini, pastinya terdengar nama puteri diseru beberapa kali. Telah lama kiter nantikan saat ini. Sebentar tadi, kiter terkejut yang amat sangat bila
nama puteri berkumandang di telinga,”
Aku jadi keliru
dengan keadaan yang ada. Aku merenung sinar mata wajah laut sedalam-dalamnya.
Aku mengharapkan, dengan renungan itu akan dapat memberikan aku jawapan yang
pasti. Bagaimana sebuah mimpi dapat dikongsi bersama. Sinar mata wajah laut
tetap tenang. Namun, dari sinar mata wajah laut, aku dapat rasakan persoalan
demi persoalan akan terungkap. Ada
jalinan indah di situ. Aku mahukan kepastian.
“Puteri, apa maksud
kata-kata puteri tu. Saya keliru sangat.”
“Sesungguhnya, kiter hadir di pantai ini pun sebab
mimpi tu. Kiter pasti, suatu waktu
nanti suara itu akan kedengaran. Syukur. Allah s.w.t makbulkan doa kiter. Kiter rindukan suara itu yang memanggil nama puteri pada ketenangan
pantai ini.”
Tiada kata-kata
yang dapat aku luahkan pada ketika itu. Kini aku pula yang merenung kaki langit
nun di kejauhan itu.
“Puteri…”
Aku cuba untuk
mencelah. Tapi tiada kata-kata yang dapat aku ungkapkan. Aku kembali melihat
alam mimpiku. Dalam mimpi itu, aku temui wajah laut. Aku terpaut pada sinar
matanya. Tampak jelas melalui sinar matanya kekuatan serta keyakinan membina
impian yang aku atur selama ini. Sinar mata itulah yang membuatkan aku sentiasa
rindu. Sentiasa menantikan kehadirannya.
“Kiter tidak percaya pada mimpi. Tapi
pada mimpi ini kiter dapat rasakan
dua hati yang disatu dan tidak akan dipisahkan. Pertemuan akan hadir. Dan dalam
pertemuan itu, akan terbuktinya keagungan sebuah cinta. Telah kiter serahkan segala rindu yang ada
dalam diri buatnya. Telah kiter
titipkan rindu itu pada setiap mimpi yang muncul. Apa yang pasti, rindu itu
telah kiter tempatkan di istana hati
ini seindah-indahnya.”
Wajah laut
menyambung lagi kata-katanya. Aku menjadi semakin keliru. Aku tekan lukaku tadi
dengan jari. Terasa sakit yang amat sangat. Namun wajah laut tetap hadir di
hadapanku.
“Noridman terkejut?
Masih tidak mahu mempercayainya?”
“Bukan saya tidak
mahu mempercayainya, tapi…”
Aku benar-benar
buntu. Maha suci Allah s.w.t. Adakah wajah laut ini bidadari yang diturunkan
untuk menduga kekuatan iman atau sekujur makhluk yang mahu mempermainkan
perasaanku. Adakah wajah laut hadir hanya sebagai tempat aku menagih kasih yang
tidak pasti. Segala-galanya membuatkan aku buntu.
Pada persinggahan
kali ini, aku mengharapkan agar ada takdir indahku. Selama ini aku melalui
setiap persinggahan, tidak ada takdir indah yang mengiringiku.
Mitos Seri Menanti
tiba-tiba menghantuiku. Aku tertanya-tanya sendirian. Aku seringnya menanti dan
menanti kehadiran wajah laut. Pada setiap persinggahan, kehampaan menjadi teman
setia. Tapi di sini, aku telah temui wajah laut. Apakah akan muncul satu lagi
mitos yang bakal menggantikan mitos Seri Menanti. Selama ini aku asyik menanti,
mungkinkah aku ditakdirkan untuk menanti sehingga kemunculan wajah laut di
sini. Gerak hatiku menyatakan bahawa ada roh cinta yang wujud di sini. Andai
ada takdir indahku di sini, akan aku cipta satu mitos baru. Akan aku buktikan
kepada cinta yang muncul sebelum ini di pantai ini bahawa aku juga memiliki
cinta yang agung.
Aku mengelamun lagi
mengingat mimpiku. Dalam mimpi itu, aku temui wajah laut yang hadir umpama
bidadari. Tenang dalam setiap perlakuan. Andaikata bidadari sebagai galang
gantinya, wajah laut tetap jadi pilihan.Apa yang pasti, dalam mimpi itu, wajah
laut miliki kasih, sayang, rindu dan cinta yang tidak pernah pudar walau
ditelan masa berlalu.
“Puteri, dalam diri
ini ada kasih, sayang, rindu dan cinta sepanjang hayat sepanjang zaman. Sudilah
kiranya puteri menjadi bidadari saya selama-lamanya,”
Aku meluahkan apa
yang tersirat di dalam hatiku selama ini. Aku menantikan jawapan yang pasti
dari wajah laut.
“Itulah impian
saya. Telah saya letakkan seluruh kasih, sayang, rindu dan cinta yang ada pada
tempat yang indah di dalam istana hati saya.”
Aku menggenggam
erat jari jemari wajah laut. Lantas aku kucup dahinya. Apa yang pasti ketika
itu aku dapat rasakan hatiku dan hati wajah laut telah bersatu dalam ikatan
cinta yang paling agung.
“Noridman…”
Tersentak aku
dibuatnya. Aku mengelamun mengingat mimpiku rupanya.
“Noridman, rasanya
Noridman menjadi keliru dengan penjelasan kiter
ni. Izinkan kiter meneruskan apa yang
selama ini terbuku di hati saya. Izinkan kiter
paparkan apa yang muncul dalam mimpi tu”
Wajah laut bangkit
lalu melangkahkan kakinya menuju ke gigi air. Dibiarkan ombak menghempas pergelangan
kakinya. Kemudian wajah laut berpaling.
“Dalam mimpi itu
juga, kiter dengan penuh ikhlas hati
mahu menjadi bidadari kepadanya. Kiter
redha dan terima kehadirannya sebagai kekasih kiter yang paling agung.”
“Puteri…”
Lidahku masih kelu
untuk meneruskan kata-kata. Dari kata-kata wajah laut, jelas terbukti bahawa
kuasa Allah s.w.t mengatasi segala-galanya. Pertemuan dan ajal adalah
ketentuanNya. Tidak ada suatu pun yang dapat menghalang. Aku mahu mengatakan
kepada wajah laut yang aku juga menantikan kehadirannya sampai masa kini.
“Noridman, mimpi
indah itu sentiasa hadir dalam setiap lena kiter.
Kiter menantikan kehadirannya. Kiter yakin dia pasti hadir. Pasti
sangat.”
Terasa sebak di
dadaku ketika itu. Mahu sekali aku menjerit pada pantai, pada wajah laut bahawa
aku juga merindukan kehadiran wajah laut yang sering hadir dalam mimpiku.
“Demi Allah, andai
ada esok yang indah, akan kiter dakap
impiannya. Akan kiter dakap cintanya.
Hati kiter dan dia telah disatukan
melalui mimpi.”
Wajah laut menyambung
lagi kata-katanya.
Lantas aku
menghampiri wajah laut. Aku renung sinar matanya. Tetap tenang dan yakin.
Persoalan demi persoalan semakin terungkap kini.
“Keagungan sebuah
cinta adalah dua hati yang disatukan dan tidak mungkin dapat dipisahkan. Selagi
ada hayat, selagi itulah kalimat ini tetap agung.”
Aku membisikkan
kata-kata tersebut di kelopak telinga wajah laut. Hanya kata-kata itu yang
dapat aku lafazkan. Aku dan wajah laut sama-sama melihat ketenangan pantai.
Suatu keindahan yang hanya aku dan wajah laut sahaja yang mengerti.
Setiap hari selepas
itu, aku mengunjungi pantai. Dan yang pastinya, wajah laut juga akan hadir
sama. Pantai Seri Menanti adalah titik noktah sebuah pencarian yang aku tempuhi
selama ini.
Sehinggalah suatu
petang, aku terasa seolah-olah kehilangan sesuatu. Wajah laut tidak menampakkan
kelibatnya. Aku jadi tertanya-tanya. Mungkinkah wajah laut sibuk dengan
urusannya sehingga melupakan aku di pantai ini. Namun aku tetap menantikan
kehadirannya.
Tiba-tiba aku
teringatkan mitos Seri Menanti. Apakah mitos Seri Menanti akan menghantui
ikatan aku dengan wajah laut. Aku menghitung semula kisah pertemuan aku dengan
wajah laut. Aku mengenang semula mimpi-mimpi yang sering hadir dalam lenaku.
Satu persatu tergambar di ruang pandangan mata. Semenjak pertemuan dengan wajah
laut, mimpi-mimpi itu sudah tidak muncul lagi. Aku menjadi hairan. Apakah
dengan kehadiran wajah laut di alam nyata, maka mimpi indahku dengannya tidak
akan muncul lagi.
Sedang aku
memerhatikan ketenangan pantai, datang seorang budak berlari-lari ke arahku
lalu menyapa.
“Abang, abang ni
Noridman ye?”
“Saya, kenapa”
Hatiku berdetik
ketika itu. Macam ada berita yang tidak baik akan aku dengar. Berdebar-debar
rasanya.
“Saya adik kakak
Idayu. Kakak sampaikan salamnya. Dia suruh saya sampaikan nota ni pada abang.”
Belum sempat aku
bertanyakan sesuatu, budak itu telah berlalu pergi dengan meninggalkan seribu
persoalan. Aku buka nota yang ada dengan tangan yang terketar-ketar.
‘Noridman !
Maaf, kiter tidak dapat hadir menikmati
keindahan
pantai
buat kesekian kalinya. Apa yang berlaku adalah
takdir Allah s.w.t. semata-mata. Kiter harap
Noridman
terima
kenyataan kiter dengan tenang. Kiter mohon izin
mengundurkan diri dari alam nyata Noridman.
Izinkan
kiter muncul hanya dalam mimpi sahaja, kerana
mimpi
membina pertemuan kiter. Dalam mimpi kiter
bertemu
maka biarlah mimpi itu terus hidup. Namun
begitu, andai
ada ikhsan Noridman, simpanlah kasih sayang
rindu dan
cinta kiter di dalam hati seindah-indahnya.
Terima kasih
kerana hadir dalam saat kiter memerlukan. Apa
yang pasti,
kiter tidak mahu Noridman berkongsi derita
bersama.
Sekian, salam kasih penuh rindu buat Noridman
yang bertakhta
di
istana hati ini.
Debaran di hati ini
semakin memuncak. Apakah maksud kata-kata wajah laut. Aku menjadi semakin
keliru dengan situasi sebegini. Apakah wajah laut dalam kesusahan? Aku nekad.
Aku akan mencari jawapannya sendiri.
Tanpa berlengah aku
mencari rumah wajah laut seperti yang pernah digambarkan. Aku menurut sahaja
gerak langkah kakiku. Jauh di sudut hatiku, aku menjadi semakin buntu. Nun di sana aku terpandangkan
budak yang memberikan nota dari wajah laut. Aku panggil budak itu.
“Adik, boleh abang
tanya, kat mana rumah kakak Idayu?”
Aku bertanya dengan
nada yang jelas terketar-ketar. Kebimbanganku semakin menebal. Aku takut wujud
situasi yang tidak aku ingini. Sebagai manusia, aku sering bermain dengan
persoalan. Seringnya persoalan itu akan menyebabkan berlakunya salah faham.
“Tu, tapi kak Idayu
tak ada. Dia kat hospital besar.”
Hatiku menjadi
tidak keruan. Apakah yang berlaku sebenarnya. Apa kaitannya hospital dengan
wajah laut. Lidahku menjadi kelu untuk bertanya dengan lebih lanjut. Aku
bergegas ke hospital untuk mencari wajah laut. Sepanjang perjalanan aku
memanjatkan doa agar tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku kepada wajah
laut.
Sesampainya di
hospital, aku dapati wajah laut berada di wad kecemasan. Hancur luluh hatiku
apabila mengetahuinya. Kenapa selama ini wajah laut merahsiakan derita penyakit
yang ditanggungnya.
Aku bertanyakan
doktor yang ada mengenai masalah kesihatan wajah laut. Amat kritikal masalah
yang dihadapinya. Masa semakin suntuk. Wajah laut memerlukan hati yang baru
bagi menggantikan sebahagian dari hatinyanya yang sudah tidak berfungsi lagi.
Tidak akan ada hari esok yang bersinar buat wajah laut andai penyumbang hati
yang baru tidak tampil ke hadapan.
Memang benar cinta
memerlukan pengorbanan. Cinta juga memerlukan keyakinan atas apa yang bakal
ditempuhi. Aku perlu melakukan sesuatu demi wajah laut yang aku cintai.
Aku melangkahkan
kakiku keluar dari kawasan hospital. Tidak aku sedari, aku tiba di perkarangan
sebuah masjid berhampiran hospital. Terdengar suara azan yang menambahkan lagi
rasa sayu dihatiku. Aku sujud ditikar sembahyang memohon petunjuk. Andai andai
ada kesilapan pada pilihanku, aku mohon ampun dan aku redha atas ketetapan yang
ada. Dari Allah s.w.t. aku datang, kepada Nya juga aku akan kembali. Demi
Allah, pilihan yang akan aku buat bukan paksaan. Ini ketentuan yang maha esa.
Hatiku terasa amat
tenang sekali. Apa yang penting aku mahukan wajah laut bebas dari
penderitaannya selama ini. Aku yakin, Allah s.w.t. tidak kejam pada makhluknya.
…………………..
Suasana pantai Seri
Menanti tenang sekali. Tiupan bayunya benar-benar mengasyikkan. Seolah-olah
terdengar alunan lagu-lagu cinta yang memberikan aku kekuatan untuk tabah
meneruskan hidup ini.
Pantai masih tidak
berubah. Kata orang, ‘sekali air bah,
maka sekali pantai berubah’. Namun, pantai Seri Menanti tetap seperti
mula-mula aku hadir dulu. Sentiasa tenang. Keindahannya masih terpelihara walau
datang badai yang ganas sekalipun.
Aku berbicara lagi
dengan pantai. Aku mahu menyatakan kepada pantai bahawa di dalam hati ini ada
cinta yang tidak akan berubah walau dilanda dugaan yang sehebat mana sekalipun.
Mitos sedih Seri
Menanti seolah-olah terpadam. Nun di sana,
aku dapat lihat seorang gadis yang menantikan kepulangan kekasihnya tersenyum
puas. Tergambar kepuasan pada raut wajahnya. Mungkin gadis itu pasrah melihat
hadirku. Mungkin gadis itu dapat menerima kenyataan bahawa kekasihnya itu tidak
akan kembali lagi buat selama-lamanya. Mungkin juga gadis itu gembira kerana
kisah cinta agungnya ada kesinambungan, malah lebih hebat lagi. Segalanya mungkin.
Di pantai ini, telah aku ciptakan satu mitos baru bagi hidupku sendiri. Nama
Seri Menanti terpahat indah bersama-sama dengan kisah cintanya yang tersendiri.
Melalui mimpi,
hatiku dan hati wajah laut bersatu. Di alam nyata, hatiku dan hati wajah laut juga
disatukan dalam ikatan yang tidak mungkin akan terpisah. Aku kagum dengan
ketetapan yang ada. Semestinya setiap makhluk telah tertulis kisahnya. Hanya
masa sahaja yang menentukan perjalanannya.
“Noridman…”
Tiba-tiba namaku
dipanggil. Terkejut aku dibuatnya.Suara yang amat aku nantikan berkumandang di
kelopak telingaku. Rasa rindu padanya teramat sangat. Aku berpaling
menghadapnya. Berderai air mataku tatkala terpandangkan sinar matanya. Masih
tidak berubah. Tenang dan menyakinkan. Aku dapat lihat kekuatan serta keyakinan
pada impian yang aku atur selama ini.
“Puteri…”
Aku tidak dapat
meneruskan lagi kata-kata. Aku terpandangkan nun di kejauhan, seorang gadis
melambai-lambaikan tangannya memohon restu untuk pergi meninggalkan pantai Seri
Menanti. Meninggalkan mitos yang tercipta sebelum ini untuk aku dan wajah laut.