Izinkan aku menarikan lenggok irama dengan iringan nada yang tampak meriah setiap jurus langkah tari itu aku bentuk seninya agar lagunya setanding agar tidak nampak sumbang agar sentiasa segar dipupuk arus melodinya namun pastinya aku akur bila lenggok tari itu pincang bila nada alunannya sumbang pentas yang ada jelas tidak pernah tetap duduknya izinkan aku dan lenggok tari itu berada pada sudut yang mampu ditatap bila ada rindu yang tidak pernah sesat

Thursday, June 28, 2012

Masih Ingatkah Lagi (Berita Minggu 27 Mei 2012)


Masih Ingatkah Lagi

Wahai Melayu
masih ingatkah lagi sejarah pilu
satu nama bawa petaka
Raja Mendaliar Kitul
menabur fitnah
lantas dibunuh setia Melayu perkasa
tanpa belas bakti
tanpa bukti bicara
hanya kerana dendam kesumat
demi kepuasan hati
demi keinginan nafsu

Wahai Melayu
masih ingatkah lagi sejarah sendu
satu nama bawa bencana
Patih Karma Wijaya
menghambur hasutan
lantas dibunuh setia persaudaraan
tanpa ada perhitungan
tanpa ada perhibaan
hanya kerana mahu menjadi pahlawan terbilang
demi kurniaan
demi kemasyhuran

Wahai Melayu
masih ingatkah lagi sejarah lalu
satu nama bawa sumpah teguh
Seri Teri Buana Demang Lebar Daun
menyusun masa depan mengikut acuan bangsa
lantas dilafaz akad pengikat budi pekerti
mengorak langkah pahlawan Melayu agar tidak sumbang
membawa gempita Melayu disebut seluruh alam nusantara
menyemarak rasa gelora Melayu mempertahankan tanah ada janji
demi kasihkan keturunan tersohor
demi cintakan kepimpinan terulung

Wahai Melayu
masih ingatkah lagi sejarah pilu
masih ingatkah lagi sejarah sendu
masih ingatkah lagi sejarah lalu
jangan sampai didodoikan puisi Melayu sedih mendayu
buat anak menjelang datang
buat anak menghitung malang
buat anak mengharung ruang
jangan sampai diceritakan kisah Melayu tegak berdiri dua nisan
hanya tinggal jejak semakin kabur tapaknya
hanya tinggal khabar semakin jauh sayupnya
hanya tinggal singgahsana semakin usang serinya
jangan sampai disebut nama Melayu
tapi tiada rupa
tapi tiada nama
tapi tiada rasa

merbau berdarah